Menari adalah cara bagi Cik Rozani Khairon meluangkan masa bersama tiga anaknya yang mula beranjak dewasa.
Pekerja bebas berusia 50 tahun itu telah mula mengambil bahagian dalam segmen pertunjukan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sebagai penari sejak beliau masih belum mendirikan rumah tangga lagi pada 2001.
“Waktu itu sebenarnya saya ke balai rakyat untuk tanya cara dapatkan tiket kerana saya ingin menonton NDP.
“Pegawai yang bekerja ketika itu pula tawarkan saya peluang ambil bahagian sekali, bukan sekadar menonton sahaja.
“Saya pun berkata mengapa tidak,” kongsi Cik Rozani ketika ditemui Berita Harian (BH) sewaktu sedang membuat persiapan bagi NDP 2025.
Kini, beliau ditemani tiga anaknya – Cik Nur Haslizah Ithnin, guru prasekolah berusia 20 tahun; Irfan Raphael Ithnin, 15 tahun; dan Nur Haleeshah Ithnin, 13 tahun.
Menggambarkan ibu mereka sebagai seorang ‘superwoman’, Irfan dan adik-beradiknya kagum melihat ketekunan Cik Rozani di setiap sesi latihan.
“Kadangkala ibu saya mengambil masa lebih lama sedikit untuk belajar langkah tarian berbanding kami, tetapi beliau tidak pernah putus asa.
“Setiap kali saya lihat bagaimana ibu tetap berusaha walaupun tarian itu sukar atau ketika beliau sakit badan, saya rasa sangat bangga sebagai anaknya,” kata Irfan, pelajar Menengah 3 di Sekolah Menengah Woodgrove.
Keluarga empat beranak itu berlatih setiap Selasa sebelum raptai pada Sabtu sepanjang Julai menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Meskipun harus mengimbangi tanggungjawab sekolah dan kerja, mereka sekeluarga menghargai masa yang diluangkan bersama.
“Jika kami tidak begitu penat selepas latihan, kami sekeluarga akan keluar makan bersama,” kata Nur Haleeshah, pelajar Menengah 1 di Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim.
“
Kadangkala ibu saya mengambil masa lebih lama sedikit untuk belajar langkah tarian berbanding kami, tetapi beliau tidak pernah putus asa. Setiap kali saya lihat bagaimana ibu tetap berusaha walaupun tarian itu sukar atau ketika beliau sakit badan, saya rasa sangat bangga sebagai anaknya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg