Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi galak pelaburan asing bagi ibu kota baru Indonesia, Nusantara

Jun 7, 2023 | 7:09 PM
SAMBUT BAIK PELABURAN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mengalu-alukan pelaburan bagi ibu kota baru negaranya yang kini sedang dibangunkan, Nusantara.
SAMBUT BAIK PELABURAN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mengalu-alukan pelaburan bagi ibu kota baru negaranya yang kini sedang dibangunkan, Nusantara. - Foto ST

Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, telah mengalu-alukan pelaburan bagi ibu kota baru negaranya, Nusantara, pada Rabu, beberapa hari setelah pelabur Singapura melawat tapak tersebut dalam pameran pertama bagi bandar itu.

Nusantara sedang dibina atas tanah hutan di Pulau Borneo, sekitar 1,200 kilometer dari Jakarta.

Ibu kota baru Indonesia itu telah menjadi projek utama Encik Jokowi dalam usahanya untuk memodenkan prasarana negaranya.

Semasa menyampaikan ucapan di persidangan Minggu Ecosperity di sini, Encik Jokowi telah menyentuh tentang kebimbangan mengenai daya maju projek AS$32 bilion ($43.3 bilion) di wilayah Kalimantan Timur itu - sama ada ia boleh menarik pelaburan dan penduduk yang mencukupi agar bandar tersebut dapat berkembang maju, dan sama ada ia benar-benar satu pembangunan hijau dan sifar karbon, lapor The Straits Times.

“Semuanya akan baik-baik sahaja, tidak perlu khuatir. Pelaburan anda di Indonesia akan terus kekal selamat,” katanya.

Persidangan itu diadakan di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands dari Selasa hingga Khamis dengan tumpuan terhadap cara mempercepat peralihan hijau.

Encik Jokowi memberi jaminan kepada pelabur akan ada kesinambungan dalam pembangunan Nusantara, sekali gus menangani kebimbangan bahawa selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada 2024, pemerintah Indonesia masa depan mungkin tidak menyokongnya.

Rancangannya ialah untuk membina bandar itu secara bertahap sehingga selesai pembangunannya pada 2045.

Indonesia telah meningkatkan usaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi ibu kota barunya itu.

Projek seluas 2,561 kilometer persegi, sekitar tiga kali ganda saiz Singapura, diumumkan pada 2020 oleh Encik Jokowi.

Ia bertujuan untuk mengurangkan tekanan ke atas Jakarta yang berkembang pesat, yang terdedah kepada banjir dan mengalami kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

Indonesia akan menampung 20 peratus kos pembangunan Nusantara sementara baki kos diharap dapat ditampung sektor privet.

Memandangkan tarikh akhir perasmian fasa pertama semakin hampir, pemerintah Indonesia mahu mendapatkan dan mengesahkan pelabur secepat mungkin.

Fasa pertama mesti diselesaikan pada Ogos 2024, sebelum perasmian pada 17 Ogos – Hari Kemerdekaan Indonesia.

Istana presiden baru, parlimen dan bangunan pemerintah penting yang lain – serta penginapan bagi pegawai perkhidmatan awam – perlu disediakan dalam fasa pertama projek itu.

Minggu lalu, Misi Singapura ke Nusantara diaturkan dengan tujuan membantu perniagaan Singapura memahami peluang yang berpotensi di ibu kota baru Indonesia itu.

Lebih 130 pegawai kementerian dan ahli perniagaan dari Singapura telah melawat tapak tersebut.

Setelah menghadiri persidangan tersebut, Encik Jokowi dan Wanita Pertama Indonesia, Cik Iriana Joko Widodo, telah menghadiri jamuan makan tengah hari dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan isteri, Cik Ho Ching.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg