Percubaan lintasan “scramble” selama tiga bulan akan bermula di persimpangan Joo Chiat Road dan East Coast Road pada 16 November.

Ini sebahagian usaha berterusan untuk memperbaik aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pejalan kaki.

Seperti di Shibuya Crossing, Tokyo, semua lampu isyarat kenderaan akan bertukar merah pada masa yang sama, membolehkan pejalan kaki melintas dari semua arah secara serentak, termasuk secara menyerong.

Untuk memudahkan percubaan itu, kenderaan yang menyusuri East Coast Road menuju Mountbatten Road tidak lagi dibenarkan membelok ke kanan ke Joo Chiat Road, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 11 November.

LTA berkata persimpangan di Joo Chiat Road dan East Coast Road agak kecil namun sentiasa sibuk dengan pejalan kaki.

“Walaupun susunan lintasan baharu ini akan memudahkan dan menambah keselamatan pejalan kaki, ia mungkin menyebabkan masa menunggu lebih lama bagi pemandu dan pejalan kaki. LTA akan memantau dengan teliti kesan baik dan buruknya serta menilai dapatan sebelum membuat keputusan lanjut.”

Percubaan itu akan membantu menilai sejauh mana lintasan sebegini memudahkan dan menambah keselamatan pejalan kaki, sambil mengambil kira keadaan trafik dan tingkah laku pengguna jalan raya, tambah LTA.

LTA berkata, menerusi inisiatif ‘Walk Cycle Ride’, pihaknya sedang mencari cara untuk menjadikan jalan raya di Singapura lebih selesa dan selamat untuk pejalan kaki.

Usaha itu memberi tumpuan khusus kepada kawasan kejiranan yang mempunyai ramai pejalan kaki.

Percubaan itu dimulakan berikutan minat masyarakat setempat untuk meningkatkan keselamatan pejalan kaki di kawasan itu.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, berkata persimpangan itu sering sibuk kerana kawasan Katong-Joo Chiat popular dengan identitinya yang menarik dan unik.

“Saya juga pernah melihat kenderaan yang membelok dan hampir melanggar pejalan kaki. Oleh itu, kami mahu memastikan pejalan kaki dan pemandu dapat menggunakan jalan raya dengan selamat dan lancar.” 

Beliau menambah bahawa projek itu “benar-benar usaha masyarakat”, dan idea itu datang daripada salah seorang pemimpin akar umbinya.

“Saya memikirkannya dengan teliti dan merasakan ia berbaloi dicuba,” katanya. 

“Pemimpin akar umbi, wakil peniaga, pegawai LTA dan saya menghabiskan beberapa bulan berbincang dan memperhalusi rancangan ini. Saya amat berterima kasih kepada sukarelawan dan rakan kongsi kami yang mengetuk pintu dan mengedarkan risalah untuk memaklumkan penduduk dan perniagaan,” tambahnya.

Beliau berharap projek rintis itu akan membawa trafik yang lebih lancar dan ketenangan fikiran kepada semua orang.

“Kami akan menilai dapatan projek rintis ini dalam beberapa bulan,” kata Encik Goh, yang juga Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri). 

“Jika berjaya, lintasan ‘scramble’ ini boleh menjadi satu lagi keunikan Katong-Joo Chiat yang menjadikannya menarik dan mesra bagi semua.”