Topik diikuti
Pergi ke BHkuJosephine dilantik pengerusi Yayasan Masyarakat PAP
Josephine dilantik pengerusi Yayasan Masyarakat PAP
Josephine dilantik pengerusi Yayasan Masyarakat PAP
MENTERI Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo telah dilantik sebagai pengerusi majlis pengurusan Yayasan Masyarakat (PCF) PAP yang baru, mengambil alih daripada Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri (DPM).
Cik Teo akan memegang jawatan barunya itu mulai 13 Jun, yang juga merupakan hari Encik Wong memulakan tugas sebagai DPM.
Dalam kenyatannya semalam, PCF berkata Cik Teo juga akan menyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Amal PCF pada 13 Jun.
Encik Wong telah menerajui yayasan itu - cabang sosial dan amal Parti Tindakan Rakyat (PAP) - dan jawatankuasa tersebut sejak 2016.
Cik Teo telah berada dalam jawatankuasa eksekutif PCF selama 12 tahun sebagai anggota dan pengerusinya dari 2016 hingga 2020.
Pada Oktober 2020, beliau dilantik sebagai timbalan pengerusi majlis pengurusan PCF.
Kenyataan PCF berkata di bawah kepimpinan Encik Wong, pengendali prasekolah PCF Sparkletots telah meningkatkan kapasitinya merentasi kumpulan umur dan mengembangkan perkhidmatannya di lebih banyak kawasan seperti Marsiling dan Punggol Shore.
Semasa tempoh perkhidmatan beliau, PCF juga meluaskan kriterianya untuk Dana Permulaan PCF pada 2019 untuk membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan.
Dana itu, yang ditubuhkan pada 2004, kini menyokong lebih 11,000 penerima seperti keluarga berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai anak dengan keperluan tambahan.
PCF berkata Encik Wong juga menerajui beberapa inisiatif lain yang memberi manfaat kepada masyarakat, seperti Pakej Sokongan PCF Sparkle, yang melanjutkan bantuan kewangan tambahan kepada keluarga yang mempunyai anak yang mendaftar di prasekolah PCF Sparkletots.
Yayasan itu juga meluaskan perkhidmatannya dalam sektor penjagaan warga emas sebagai respons kepada perubahan dalam keperluan demografik, dengan tujuh pusat Penjagaan Sparkle ditubuhkan sejak 2015, yang menawarkan perkhidmatan untuk penjagaan harian, pemulihan dan penjagaan demensia.
Skim Bantuan Kewangan Penjagaan Warga Emas juga diperkenalkan untuk menyokong warga emas yang menghadapi masalah kewangan dalam pembayaran yuran.
Encik Wong berkata bahawa semasa beliau bersama PCF, beliau mendapat inspirasi daripada ramai orang dalam pertubuhan itu yang telah berusaha keras untuk memberi permulaan yang baik kepada kanak-kanak dalam kehidupan dan meningkatkan mutu hidup keluarga yang memerlukan.
Beliau menambah:
"Saya yakin PCF akan terus melakukan lebih banyak lagi untuk memajukan kesejahteraan masyarakat di bawah kepimpinan Cik Teo yang berkebolehan dan berpengalaman."
Sementara itu, Cik Teo berkata bahawa PCF akan terus melakukan yang terbaik untuk menyediakan pendidikan prasekolah yang bermutu dan berpatutan, serta merangsang kebajikan warga emas dan masyarakat.
