Di bawah kepimpinan Encik Khaw Boon Wan, SPH Media terus meraih kepercayaan rakyat Singapura meskipun menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam cara masyarakat mendapatkan dan menggunakan berita.

Menyatakan demikian dalam catatan Facebook beliau pada 1 Oktober, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata SPH Media juga terus berusaha memperbaharui dirinya dengan memperkukuh keupayaan digital dan membina kerjasama baharu bagi mendekati khalayak menerusi pelbagai cara.

“Di bawah kepimpinannya (Encik Khaw), SPH Media terus meraih kepercayaan rakyat Singapura, walaupun ia menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam tabiat penggunaan media,” katanya.

“SPH Media berusaha memperbaharui dirinya dengan membangunkan keupayaan digital dan menjalin kerjasama untuk mendekati khalayak melalui cara-cara baharu. Ia juga sedang meneroka bagaimana AI boleh menyokong bilik beritanya, sambil mengekalkan mutu kewartawanan yang sudah biasa dinikmati rakyat Singapura,” kata Cik Teo.

Cik Teo berkata demikian dalam kenyataan sempena persaraan Encik Khaw sebagai Pengerusi SPH Media Trust (SMT) dan SPH Media Holdings (SPHMH) sejak 2021.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Khaw atas kepimpinan dan khidmat beliau, sambil menyifatkan Encik Khaw sebagai seorang pemimpin yang strategik dan mempunyai matlamat jelas dalam menentukan hala tuju SPH Media.

Cik Teo berkata beliau telah mengenali dan menghormati Encik Khaw sejak mereka bertemu kali pertama lebih 20 tahun lalu, pada 2006, ketika Encik Khaw menjadi Menteri Kesihatan dan beliau pula baru menjadi Anggota Parlimen (AP).

Beliau mengenang bagaimana Encik Khaw ketika itu meluangkan masa dan memberi perhatian kepada AP baharu, termasuk mendengar keprihatinan mereka mengenai isu penjagaan kesihatan.

Cik Teo turut mengimbas penglibatan beliau dalam beberapa sesi libat urus bersama Encik Khaw, termasuk ketika Kementerian Kesihatan (MOH) memperkenalkan rangka kerja penilaian kemampuan atau means-testing bagi subsidi penjagaan kesihatan.

Menurut beliau, Encik Khaw perlu menerangkan dengan sabar kepada rakyat mengenai rangka kerja subsidi yang lebih adil dan mampan, yang bertujuan meningkatkan kemampuan mendapatkan penjagaan kesihatan.

Kedua-duanya kemudian sekali lagi bekerjasama di Kementerian Pengangkutan (MOT), apabila Cik Teo menjadi timbalan Encik Khaw.

Beliau berkata Encik Khaw memberi ruang kepadanya untuk memimpin pembangunan sektor penerbangan dan maritim, sementara beliau sendiri menumpukan perhatian kepada isu-isu sukar berkaitan pengangkutan darat.

Dalam tempoh itu, Cik Teo terlibat secara mendalam dalam projek Jewel (Lapangan Terbang Changi) dan Changi 2036, termasuk perancangan Terminal 5 (T5).

Pada 2021, ketika Cik Teo menjadi Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik Khaw bersetuju keluar daripada persaraan untuk mengambil alih jawatan Pengerusi SMT.

Cik Teo berkata Encik Khaw berbuat demikian bagi membantu sebuah institusi penting Singapura melalui tempoh transformasi kritikal supaya terus relevan dan berkesan dalam landskap media baharu.

Walaupun proses transformasi itu masih belum selesai, beliau berkata Encik Khaw telah meletakkan SPH Media di landasan yang kukuh dengan membangunkan pasukan serta keupayaannya.

Beliau turut memastikan pengganti yang sesuai tersedia bagi meneruskan hala tuju SPH Media.

Encik Chan Yeng Kit kini mengambil alih sebagai Pengerusi Eksekutif SMT dan SPHMH, manakala Encik Kuek Yu Chuang dilantik sebagai Pengarah Urusan baharu SPH Media.

Cik Teo berkata beliau yakin mereka, bersama tokoh berpengalaman dalam SPH Media seperti Ketua Editor Kumpulan Media Cina (CMG), Lee Huay Leng, dan Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, akan terus membawa pasukan itu ke hadapan.

Sepanjang lima tahun lalu, Cik Teo berkata beliau dan Encik Khaw kerap bertemu bagi membincangkan kemajuan SPH Media, cabaran yang dihadapinya serta cara terbaik untuk terus berkhidmat kepada rakyat Singapura.

Beliau menyifatkan Encik Khaw sebagai seorang yang sentiasa berpandangan jelas mengenai cabaran, pantas mengenal pasti isu utama dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh SPH Media untuk jangka panjang.

Cik Teo turut menghargai kesediaan Encik Khaw mengambil tanggungjawab itu meskipun beliau sebenarnya mahu menumpukan lebih banyak masa kepada keluarganya selepas bersara.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan mengucapkan terima kasih kepada Encik Khaw atas nasihat dan kepimpinan teguh sepanjang lima tahun lalu, sambil berharap beliau kini dapat menikmati persaraan yang lebih tenang bersama keluarga.