Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JTC lancar kalkulator bantu pemaju hartanah kira pelepasan karbon

Jun 26, 2023 | 3:57 PM
KALKULATOR KARBON: Pasukan daripada JTC menunjukkan kalkulator karbon terkandung yang mereka bangunkan, yang mempunyai faktor pelepasan karbon yang disesuaikan dengan keperluan Singapura.
KALKULATOR KARBON: Pasukan daripada JTC menunjukkan kalkulator karbon terkandung yang mereka bangunkan, yang mempunyai faktor pelepasan karbon yang disesuaikan dengan keperluan Singapura. - Foto ZAOBAO

JTC telah membangunkan satu alat kalkulator dalam talian untuk membantu pihak dalam industri persekitaran binaan mengira anggaran jejak karbon bangunan-bangunan dengan lebih tepat.

Kalkulator Karbon Bangunan Singapura (SBCC) itu dibangunkan dengan kerjasama Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dan Majlis Bangunan Hijau Singapura (SGBC).

Ia telah diumumkan pada Isnin di Persidangan Bangunan Hijau Antarabangsa oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara).

Ia bertujuan membantu para pemaju hartanah menganggarkan dengan lebih tepat jumlah gas karbon yang dilepaskan daripada bahan-bahan binaan yang digunakan. Menerusi cara itu, para pemaju diharap dapat didorong menggunakan bahan-bahan serta proses binaan yang lebih mesra alam.

Selain daripada mempunyai antara muka yang lebih ringkas dan lebih intuitif, kalkulator baru itu juga mempunyai faktor pelepasan karbon yang disesuaikan dengan keperluan Singapura.

JTC berkata kebanyakan kalkulator karbon dibangunkan di Amerika Utara atau Eropah dan memenuhi keperluan rantau itu.

Kalkulator baru itu akan mengambil kira pelepasan karbon daripada faktor seperti pengangkutan apabila Singapura mengimport bahan.

Ketua pegawai kemampanan JTC, Encik Tan Chee Kiat, menukil contoh pelepasan tenaga yang berbeza daripada pengeluaran elektrik.

“Di Singapura, kita menggunakan LNG (gas asli cecair) untuk elektrik, tetapi mungkin beberapa negara lain akan mempunyai tenaga boleh diperbaharui atau pengeluaran arang batu mereka sendiri,” katanya.

SBCC juga menyusun keputusan mengikut bahan yang paling banyak menyumbang kepada pelepasan karbon dalaman.

“Ia membolehkan pereka bentuk memutuskan bahan yang hendak digunakan, mendapatkan sokongan pemaju dan seterusnya kontraktor boleh mencari pengilang yang lebih hijau,” kata Encik Tan.

SBCC ialah kalkulator yang disyorkan untuk penyerahan permohonan Tanda Hijau BCA, kata Cik Indranee.

Skim pensijilan Tanda Hijau ialah sistem penarafan bangunan hijau yang direka untuk menilai kesan dan prestasi alam sekitar sesebuah bangunan.

Presiden SGBC, Encik Lee Ang Seng, juga mengumumkan semakan kepada kriteria pensijilan bagi kedua-dua Kemampanan Alam Sekitar (ES) dan Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) di bawah skim pensijilan Perkhidmatan Bangunan Hijau Singapura.

SBCC boleh digunakan secara percuma dan boleh didapati di laman web SGBC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg