
KERJA-KERJA peningkatan bagi Masjid Bencoolen tetap berjalan dengan lancar walaupun masjid ini masih lagi kekurangan dana yang diperlukan.
Merupakan salah satu masjid yang bersejarah di sini, Masjid Bencoolen dibina sejak 1845 dan perlu melakukan pengubahsuaian demi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.
Kini, ia masih lagi memerlukan dana sebanyak $300,000 bagi projek peningkatan ini, dan dijangka siap pada suku kedua tahun ini.
Masjid yang berusia 196 tahun itu dan terletak di 51 Bencoolen Street ini masih dalam proses diubahsuai. Ia perlu membangunkan kemudahan lain seperti bilik darjah, lif dan sebagainya.
Ini bertujuan memberikan keselesaan kepada para jemaah untuk beribadah serta memudahkan lagi warga senja untuk menggunakan kemudahan di masjid yang terletak di kawasan berdekatan bandar ini.
Biarpun sibuk dengan kerja-kerja peningkatan di waktu ini, pembelajaran agama dan dakwah tetap diteruskan melalui wadah dalam talian.
Pengerusi Masjid Bencoolen, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof, 56 tahun, berkata pada tahun 2001, kawasan masjid telah dibangunkan semula sebagai sebuah pembangunan campuran blok komersial dan kompleks setinggi 12 tingkat.
Pembangunan semula masjid ini telah dibuka kepada umum pada Mei 2004 dan mampu memuatkan sehingga 1,100 jemaah untuk bersolat dalam masjid ini, sebelum pandemik melanda.
Beliau turut menjelaskan, banyak juga aktiviti yang telah dijalankan bagi pihak masjid, dan semuanya telah dilakukan secara dalam maya, dan tetap mendapat sambutan yang menggalakkan dari jemaah.
Sehubungan dengan itu, masjid juga menjual kupon martabak amal berharga $10 setiap satu. Kupon ini boleh dibeli terus di pejabat Masjid Bencoolen.
Pihak masjid juga ada menyediakan pelbagai produk lain yang menarik untuk membantu pembangunan masjid.
Di antaranya adalah Kitab Kumpulan Hadith berharga di antara $75 dengan $95 setiap set, al-Quran terjemahan berharga $35 dan perhiasan berbentuk kaabah berwarna keemasan atau perak pula dijual pada $90. Rehal bangku berwarna hitam pula ditawarkan pada harga $35 sahaja.
Masjid Bencoolen amat mengharapkan bantuan dari masyarakat Islam setempat dalam usaha mengumpul dana yang masih kurang.
CARA MENYUMBANG
- Dermalah dengan pemindahan wang ke akaun OCBC bernombor 506-010925-001 atau lungsuri https://masjidbencoolen.org/donate.
- Untuk urusan sumbangan melalui pembayaran cek, sila hantar cek dengan menyertakan nama 'Masjid Bencoolen' dan hantar kepada alamat berikut iaitu 51 Bencoolen Street, #01-01, Singapura 189630.
- Hubungi talian 6333-3016 untuk sebarang maklumat lanjut dan layari Facebook@Masjidbencoolen atau Youtube@masjidbencoolenTV.
- Layari https://masjidbencoolen.org/eshop/ untuk mendapatkan pelbagai produk jualan dari Masjid Bencoolen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg