Jumlah flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual pada harga minimum $1 juta mencapai paras tertinggi pada Jun.
Hampir 100 flat jualan semula HDB dijual pada harga tersebut, manakala harga flat jualan semula terus meningkat.
Anggaran awal oleh portal hartanah SRX dan 99.co yang dikeluarkan pada 8 Julai menunjukkan bahawa harga jualan semula HDB naik 1.8 peratus pada Jun.
Ia adalah kenaikan harga selama sembilan bulan berturut-turut.
Harga jualan semula meningkat bagi semua jenis flat di kededua kawasan perumahan matang dan bukan matang pada Jun, berbanding Mei, lapor The Business Times (BT).
Bagaimanapun, jumlah flat jualan semula yang bertukar tangan turun 13.1 peratus kepada 2,184 flat pada Jun berbanding 2,513 flat pada Mei.
Jumlah flat jualan semula yang dijual beli pada Jun meningkat 17.5 peratus, berbanding tempoh sama setahun lalu.
Ketua penyelidikan dan risikan pasaran di ERA Singapore, Cik Wong Shanting, berkata pelancaran projek Bina Ikut Tempahan (BTO) HDB pada Jun telah mengalihkan sebahagian permintaan daripada pasaran jualan semula, menyebabkan jumlah transaksi jual beli lebih rendah bagi flat jualan semula.
Memandangkan projek BTO pada Jun adalah yang terakhir tidak dijual di bawah kategori Standard, Plus dan Prime, kadar permohonan bagi flat tersebut telah meningkat, jelas beliau.
Musim cuti sekolah pada Jun mungkin turut menyumbang kepada jumlah transaksi flat jualan semula yang berkurangan, dengan pembeli dan penjual bercuti di luar negara, kata ketua penyelidik dan pakar strategi di firma hartanah, OrangeTee, Cik Christine Sun.
Flat HDB yang dijual pada harga minimum $1 juta membentuk 4.4 peratus daripada jumlah flat jualan semula yang bertukar tangan, melonjak 29.7 peratus kepada 96 flat pada Jun berbanding 74 flat yang dijual beli pada Mei.
Ketua pegawai penyelidik di portal carian hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, menyatakan harga flat yang melonjak itu disebabkan permintaan lebih tinggi bagi flat di lokasi menarik, iaitu di kawasan tengah Singapura atau berhampiran stesen MRT yang mungkin dikategorikan sebagai lokasi perumahan Prime atau Plus.
Memandangkan flat BTO di lokasi tersebut dijangka dikategorikan sebagai flat Prime atau Plus dengan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) 10 tahun, pembeli rumah yang tidak menyukai MOP lebih panjang itu akan cenderung memilih flat di pasaran terbuka, dan menyumbang kepada kenaikan harga.
Satu lagi sebab kenaikan harga jualan semula ialah bekalan yang kian berkurangan bagi unit kondominium jualan semula dan kondominium eksekutif (EC) jualan semula saiz keluarga, yang berharga dari $1 juta hingga $1.65 juta, kata Encik Mak.
Unit kondominium saiz keluarga biasanya adalah unit yang mempunyai tiga bilik tidur, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg