Di tengah-tengah jumlah jangkitan Covid-19 yang agak tinggi dilaporkan di Singapura, jumlah individu yang dimasukkan ke hospital juga meningkat sejak lapan minggu lalu atau sejak minggu 5 Mac.

Antara 23 hingga 29 April, 568 orang telah dimasukkan ke hospital, dengan 15 orang dihantar ke unit jagaan rapi (ICU).

Dalam empat minggu lalu, antara 2 dengan 29 April, 47 pesakit dimasukkan ke ICU.

Jumlah ini meningkat daripada 43 orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), pada minggu terakhir April, secara purata, pesakit Covid-19 menggunakan 317 katil hospital pada satu hari.

Pada minggu terakhir Mac, mereka secara purata mengisi kira-kira 180 katil.

Pada minggu yang sama, 22,651 orang telah dikenal pasti dijangkiti Covid-19.

Walaupun ini menggambarkan kemerosotan lebih 20 peratus berbanding minggu sebelumnya, jumlah itu kekal tinggi sebagai satu daripada hanya empat minggu tahun ini dengan jangkitan melebihi 20,000 kes.

Bilangan sebenar jangkitan mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan, jelas akhbar The Straits Times.

Tetapi dengan lebih daripada 80 peratus penduduk telah mendapat sekurang-kurangnya tiga suntikan vaksin, dan penyakit berjangkit itu kini dirawat oleh pihak berkuasa seperti mana-mana penyakit endemik lain, melaporkannya tidak lagi diperlukan.

Sebilangan besar orang yang dijangkiti kini tidak mengalami sakit teruk.

Dr Asok Kurup, pakar penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, berkata beliau telah melihat lebih ramai pesakit Covid-19 sejak enam minggu lalu.

Kebanyakannya mempunyai jangkitan ringan hingga sederhana, katanya, tetapi mereka bertemu dengannya dan bukannya pengamal perubatan awam (GP) kerana mereka mempunyai masalah perubatan lain.

Salah seorang pesakitnya, sebagai contoh, adalah penerima pemindahan hati dan mempunyai tahap imuniti yang lebih rendah. Beliau berkata mereka kebanyakannya dirawat sebagai pesakit luar, dengan hanya 10 peratus perlu dimasukkan ke hospital.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 26 April, Singapura telah melaporkan 2.34 juta jangkitan dan 1,722 kematian akibat Covid-19.

Data MOH menunjukkan 30 orang telah meninggal dunia dalam tiga bulan pertama 2023, di mana dua daripadanya berumur di bawah 60 tahun.

Angka ini berkemungkinan lebih rendah daripada kematian akibat influenza.

Sebelum melandanya Covid-19, terdapat kira-kira 50 kematian yang disebabkan oleh selesema setiap bulan.