SEDANG Covid-19 hampir melenyapkan pergerakan penumpang udara, bilangan penumpang pengangkutan awam telah kembali meningkat, dan jumlah kargo laut hampir mencapai tahap sebelum pandemik, kata Kementerian Pengangkutan (MOT).
Bilangan penumpang pengangkutan awam Singapura kini lebih 70 peratus daripada jumlah yang dicatat awal tahun ini, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh kementerian itu dalam satu catatan Facebook semalam.
Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Changi April lalu merosot ke 0.004 peratus daripada jumlahnya pada awal tahun ini, menurut perangkaan MOT.
Singapura menutup sempadannya kepada pengunjung pada 23 Mac dan memasuki tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 7 April.
Bilangan penumpang udara telah naik perlahan sejak itu, dan hingga bulan lalu, MOT berkata bilangan tersebut mencecah 0.019 peratus.
Mengulas mengenai perangkaan itu dalam catatan Facebook berasingan, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung berkata pengangkutan udara kekal mencabar.
Beliau pada awal tahun menekankan pentingnya membangunkan semula hubungan udara ke negara ini dan berkata semakin lama sempadan Singapura kekal tutup, semakin besar risiko ia kehilangan status hab udaranya, yang sangat penting bagi ekonominya.
Data MOT menunjukkan bagaimana bilangan penumpang pengangkutan awam sepanjang hari merosot akibat langkah keselamatan Singapura.
April lalu, bilangan penumpang yang menggunakan pengangkutan awam turun ke 32 peratus berbanding awal tahun ini.
Ia turun lagi ke 25 peratus Mei lalu tetapi naik kembali selepas itu, dan sekitar 72 peratus bulan lalu.
Encik Ong berkata bilangannya turun akibat pemutus rantaian jangkitan.
Menyentuh tentang prestasi sektor maritim, Encik Ong berkata ia adalah "cahaya terang dalam masa sukar".
Data MOT menunjukkan jumlah kargo laut Singapura sekitar paras yang sama.
Berbanding dengan awal tahun ini, jumlah kargo laut sekitar 97 peratus bulan lalu.
"Pelabuhan kita kekal terbuka, barangan mengalir. Kita malah berjaya membangunkan prosedur 'koridor selamat' untuk pertukaran anak kapal yang dilihat sebagai amalan terbaik kelautan antarabangsa," ujar Encik Ong.
Covid-19: 10 kes import, tiada jangkitan setempat
SEBANYAK 10 kes Covid-19 baru disahkan hingga 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlah 58,519 jangkitan di Singapura sejauh ini.
Semua kes baru itu adalah kes yang diimport dan telah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH). Tiada jangkitan setempat dilaporkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg