
Jumlah kes bunuh diri di Singapura merosot kepada 378 tahun lalu, mencatat kadar penurunan 16.3 peratus berbanding 2020.
Perangkaan Samaritans of Singapore (SOS) menunjukkan, kes bunuh diri di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas juga menurun, daripada 154 kematian pada 2020 kepada 112 tahun lalu.
Dalam satu kenyataan media semalam, SOS mengaitkan angka-angka ini dengan usaha pihak berkuasa bersama sektor kesihatan mental dan masyarakat dalam mengutamakan kesejahteraan mental dan pencegahan bunuh diri berikutan kesan Covid-19 pada kesihatan mental.
Pusat pencegahan bunuh diri itu menyatakan, kes bunuh diri kekal sebagai punca kematian terbanyak dalam kalangan orang berumur 10 hingga 29 tahun sejak tiga tahun lalu.
Menurut SOS, kematian dalam kumpulan umur ini meningkat kepada 29.6 peratus daripada semua kes bunuh diri yang direkodkan di sini tahun lepas, berbanding 22.3 peratus pada 2020.
Dalam kalangan mereka yang berumur antara 10 dan 19 tahun, ia meningkat sebanyak 23.3 peratus, daripada 30 kematian pada 2020 kepada 37 tahun lepas.
Ketua Eksekutif SOS, Encik Gasper Tan, berkata penurunan keseluruhan dalam jumlah kes adalah menggalakkan, dengan menyatakan lebih ramai orang sedang mencari bantuan.
"Berbanding 2020 dengan 2021, talian hotline krisis kami telah menyaksikan peningkatan 127 peratus dalam panggilan daripada golongan muda berumur 10 hingga 19 tahun, menyatakan seruan kuat meminta pertolongan yang tidak boleh diabaikan," katanya.
Beliau menyatakan, permintaan telah meningkat untuk perkhidmatan pemesejan teks kumpulan, SOS CareText.
Data tidak tersedia untuk SOS CareText, yang telah dilancarkan pada 2020 dan berkembang menjadi perkhidmatan 24 jam, tujuh hari seminggu pada tahun ini.
Walaupun ia telah memperkenalkan pelbagai program berorientasikan belia dalam beberapa tahun ini, SOS menggesa usaha lebih besar bagi mempertingkat dan mengembangkan inisiatif ini untuk menangani kes bunuh diri di kalangan belia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg