SINGAPURA hampir mencatatkan rekod jumlah kes denggi sedang 748 individu diuji positif dalam tempoh empat setengah hari minggu ini.
Sejauh ini, rekod jumlah jangkitan tertinggi dalam seminggu yang pernah dilaporkan di sini adalah 891 pesakit pada 2014, lapor The Straits Times (ST).
Ketika itu, Singapura dilanda wabak denggi terbesar apabila ia mencatatkan lebih 40,000 kes pada 2013 dan 2014.
Seramai 14 orang meninggal dunia akibat penyakit itu dalam tempoh tersebut.
Tahun ini, 10,585 orang telahpun dijangkiti penyakit berpunca daripada nyamuk Aedes, manakala 12 orang meninggal dunia.
Bilangan kelompok jangkitan yang aktif turut meningkat dengan sebanyak 205 kelompok dilaporkan.
Di kalangan kelompok tersebut, 64 kawasan diisytiharkan sebagai kelompok "risiko tinggi," dengan lebih 10 individu telah dijangkiti.
Dua kelompok jangkitan terbesar yang dikenal pasti adalah di Potong Pasir, di mana satu kawasan mencatatkan seramai 205 jangkitan manakala satu lagi melaporkan 139 orang yang ditimpa penyakit tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg