Jumlah murid darjah enam yang memohon sekolah menengah melalui skim Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) mencapai bilangan rekod 16,000 pada 2024, bertambah daripada 14,500 pada 2023.
Mereka mengemukakan sejumlah 42,500 permohonan, meningkat daripada 38,000 pada 2023.
Pada 2022, 12,200 murid mengemukakan 31,800 permohonan.
Skim DSA membolehkan semua murid memohon maksimum tiga sekolah berdasarkan bakat dalam bidang tertentu, yang boleh merangkumi sukan, seni persembahan atau bidang akademik tertentu, sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Murid yang berada dalam darjah enam pada 2024 dilahirkan pada Tahun Naga, dengan saiz kohort lebih besar daripada biasa, iaitu 41,000, meningkat daripada 38,100 bagi kohort darjah enam 2023.
Ini mungkin antara sebab jumlah permohonan bagi DSA pada 2024 lebih tinggi, lapor The Straits Times.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), DSA sekarang semakin popular selepas ia menjalani perubahan sepanjang beberapa tahun lalu, yang menjadikannya lebih mudah diakses murid.
Sejak 2018, MOE telah meningkatkan jumlah tempat DSA yang membolehkan sekolah menengah menerima hingga 20 peratus kemasukan pelajar menengah satu program tidak bersepadu (IP) melalui DSA.
Sejak beberapa tahun lalu, sekolah juga telah memperluas proses pemilihan DSA mereka bagi mengiktiraf kekuatan yang pelbagai dan mengambil kira potensi, minat, watak, daya tahan dan semangat, menurut MOE.
Meskipun jumlah murid darjah enam pada 2024 lebih tinggi, MOE menambah bahawa “kuota kemasukan sedia ada tetap diguna pakai tanpa mengira saiz kohort”.
Sekolah yang menawarkan IP, iaitu pelajar tidak perlu menduduki Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan boleh menduduki GCE peringkat ‘A’ selepas enam tahun, biasanya akan menerima sekitar 30 hingga 35 peratus pelajar menengah satu bagi program IP melalui DSA.
Sekolah yang tidak menawarkan IP boleh menerima hingga 20 peratus kemasukan pelajar menengah satu melalui DSA.
Sekolah bebas khusus – seperti Sekolah Tinggi Matematik dan Sains NUS, Sekolah Seni Singapura (Sota) dan Sekolah Sains dan Teknologi – menerima kemasukan pelajar menengah satu melalui DSA sepenuh.
Sebahagian murid sudah mendapat tawaran DSA.
Antaranya ialah Rachel Ooi, 12 tahun, daripada Sekolah Rendah Henry Park, mendapat tawaran daripada Sota pada 16 Ogos selepas dua pusingan pemilihan serta tawaran daripada Sekolah Menengah New Town, namun tidak diterima Sekolah Menengah St Margaret’s.
Ibunya, Cik Han Hwee Ping, 47 tahun, yang bertugas sebagai konsultan teknologi maklumat, berkata Rachel gemar melukis sejak kecil dan mengikuti kelas seni di luar sekolah sejak darjah satu.
Sejak darjah lima, Rachel juga menjalani kelas seni dua kali seminggu untuk bersiap sedia bagi permohonan DSA.
Cik Han berkata beliau gembira melihat usaha anaknya dalam bidang seni kini membuahkan hasil.
Beliau turut menghargai peluang yang diberi melalui DSA untuk memasuki Sota, salah satu sekolah IP yang menawarkan program diploma International Baccalaureate (IB).
“Tanpa DSA, beliau mungkin tidak akan diberi peluang. Sekolah lain yang menawarkan IP adalah untuk pelajar lebih kuat dari segi akademik,” kata Cik Han.
Menurut MOE, kadar permohonan bagi bidang berbeza “kekal serupa secara amnya sejak beberapa tahun lalu”.
Pada 2024, sekitar 37 peratus permohonan adalah bagi bidang sukan dan permainan; sekitar 20 peratus untuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik; sekitar 17 peratus bagi seni persembahan, dan sekitar 14 peratus untuk bidang kepimpinan dan kumpulan seragam.
Murid akan mendapat tawaran DSA terus dari sekolah paling lewat pada 9 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg