Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pasport yang dikeluarkan pada 2021 terendah dalam 15 tahun

Jan 8, 2022 | 7:23 PM
Foto FAIL
Foto FAIL -

BILANGAN warga Singapura yang memperbaharui pasport atau memohon bagi pasport baru terus merosot dalam pandemik Covid-19 dengan jumlah pasport yang dikeluarkan pada 2021 adalah yang paling rendah dalam tempoh 15 tahun.

Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan membawa pada 281,918 pasport dikeluarkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tahun lalu. Jumlah ini adalah yang paling rendah sejak 2016 di mana 353,562 pasport dikeluarkan.

Pasport baru dikeluarkan apabila yang lama sudah tamat tempoh atau bakal tamat tempoh mahupun apabila seseorang yang tiada pasport memohon untuk mendapatkannya termasuk golongan ibu bapa yang memohon buat anak-anak mereka.

Terdapat peningkatan sedikit pada jumlah pengeluaran pasport sekitar hujung tahun lalu setelah ICA mengumumkan warga Singapura berusia 16 tahun ke atas boleh memohon bagi pasport yang sah digunakan buat tempoh 10 tahun mulai 1 Oktober 2021.

Warga negara di bawah usia 16 tahun kekal memiliki pasport dengan had lima tahun kerana ciri-ciri wajah mereka terus berubah apabila dewasa, jelas ICA.

Dalam kalangan semua pasport yang dikeluarkan tahun lalu, 103,968 pasport atau lebih sepertiga daripadanya dikeluarkan pada tiga bulan terakhir 2021.

Warga Singapura menerima 711,617 pasport pada 2019 tetapi apabila virus menular merata dunia dan mendesak pemerintah negara berkenaan menutup sempadan, ICA mengeluarkan hanya 320,709 pasport pada 2020.

Kemerosotan meruncing tahun lalu tidak mengejutkan memandangkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di banyak negara dan undang-undang kuarantin ditetapkan beberapa penguasa, kata pengerusi kursus program pengurusan layanan tamu dan pelancongan di Politeknik Temasek (TP), Encik Chew Kian Beng.

"Ketakutan terbesar buat pengembara kurang sedikit mengenai jangkitan Covid-19 tetapi lebih pada kekangan semalaman yang membatalkan laluan perjalanan atau lebih buruk lagi apabila terbiar terkurung di negara asing," tambahnya kepada akhbar The Straits Times.

Kes Covid-19 pertama di Singapura dikesan pada 23 Januari 2020.

Menjelang Mac 2020, Singapura terpaksa menutup sempadannya buat pengunjung jangka pendek dan beberapa buruh asing selepas dua kematian berkaitan dengan koronavirus disahkan.

Singapura melalui perintah berkurung pada 7 April 2020.

Menjelang separuh tahun kedua 2021, pelbagai pihak berkuasa telah melonggarkan sekatan perjalanan dengan perjalanan bebas kuarantin antara Singapura dengan beberapa negara terpilih di bawah skim Laluan Perjalanan Buat Orang Yang Divaksin (VTL) dengan risiko Covid-19 lebih rendah bermula September lalu.

Bagaimanapun, pensyarah kanan kursus pelancongan di Politeknik Ngee Ann (NP), Dr Michael Chiam, berkata kebanyakan warga Singapura masih berhati-hati tentang mengembara ke luar negara "khususnya dengan kadar jangkitan tinggi merata dunia ekoran varian baru Omicron".

"Orang ramai mula mengembara kerana pembukaan lebih banyak VTL tetapi pemulihan penuh kemungkinan hanya akan berlaku dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Namun, VTL juga bukan jaminan.

Bulan lalu, Singapura membekukan semua jualan tiket baru bagi penerbangan dan bas antara 23 Disember tahun lalu dengan 20 Januari tahun ini di kala kes Omicron pesat menular di banyak negara.

Encik Abdul Haqem'Ulddin yang merancang untuk mengembara ke Amerika Syarikat pada Mac mengalu-alukan peluang berjimat dengan tempoh pasport baru yang dipanjangkan.

Pasport jurutera aplikasi berusia 29 tahun itu dijadualkan tamat tarikh tempohnya pada Mac depan. Beliau telah memperbaharui pasportnya pada Disember.

"Yuran permohonan pasport keseluruhan ini lebih rendah kerana saya tidak perlu bayar seganda lebih bagi memperbaharui pasport saya itu setiap lima tahun," katanya yang akur yuran yang ada kini bagi memohon pasport kekal pada $70.

Pengurus komunikasi kanan di agensi pelancongan Chan Brothers, Encik Jeremiah Wong, berkata industri pelancongan kekal mengharap sektor pelancongan akan bangkit semula.

Beliau mendapati ancaman Omicron tidak memberi impak ketara pada tempahan VTL yang sah.

Kata Encik Wong: "Sejauh ini, jualan VTL kami termasuk pakej pelancongan, penerbangan dan tempat tinggal, membentuk lima peratus daripada apa yang kami perolehi sebelum pandemik.

"Kami kian melihat penerimaan positif daripada pelanggan secara menyeluruh sejauh ini walaupun beberapa hambatan dihadapi seperti varian Omicron yang menyebabkan pemerintah merata dunia mengenalkan ketetapan ujian baru dan sekatan sempadan buat sementara waktu."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg