Jumlah pekerjaan terus naik 75,600 dalam suku ketiga 2022

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pekerjaan terus naik 75,600 dalam suku ketiga 2022

Namun, kadar pengangguran naik, satu isyarat rentak perlahan: MOM
Oct 29, 2022 | 5:30 AM

Jumlah pekerjaan terus naik 75,600 dalam suku ketiga 2022

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
JUMLAH MENINGKAT: Menurut MOM, lebih ramai penduduk, terdiri daripada penduduk tetap dan warga Singapura, mendapat pekerjaan, walaupun kadar peningkatan itu berkurangan berbanding suku lalu. - Foto ZAOBAO
JUMLAH MENINGKAT: Menurut MOM, lebih ramai penduduk, terdiri daripada penduduk tetap dan warga Singapura, mendapat pekerjaan, walaupun kadar peningkatan itu berkurangan berbanding suku lalu. - Foto ZAOBAO -

JUMLAH pekerjaan, tidak termasuk pembantu rumah asing, terus meningkat dalam suku ketiga tahun ini sebanyak 75,600 berbanding 66,500 dalam suku sebelumnya, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, pemulihan pasaran pekerja Singapura menunjukkan tanda "rentak yang semakin perlahan" dalam suku ketiga tahun ini sedang kadar pengangguran naik sedikit dan bilangan pemberhentian kerja juga meningkat walaupun kedua-duanya masih setara dengan paras sebelum Covid-19.

Menurut laporan awal pasaran pekerja suku ketiga yang dikeluarkan semalam, jumlah pekerjaan terus berkembang dan mengatasi paras prapandemik sebanyak 1.7 peratus bulan lalu.

Pekerjaan bukan penduduk menyumbang sebahagian besar peningkatan itu sedang ia meneruskan pemulihannya ke arah tahap prapandemik. Peningkatan itu rata-rata dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

Seperti suku-suku lalu, lebih ramai penduduk, terdiri daripada penduduk tetap dan warga Singapura, mendapat pekerjaan, walaupun kadar peningkatan itu berkurangan berbanding suku lalu, kata MOM.

Peningkatan rata-rata dilihat dalam sektor seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan kewangan.

Sementara itu, kadar pengangguran naik sedikit bulan lalu kepada 2 peratus secara keseluruhan - 2.9 peratus untuk penduduk tetap dan 3.1 peratus untuk warga Singapura - selepas mencatat penurunan ke paras terendah dalam enam tahun Ogos lalu. Bagaimanapun, kadar itu kekal dalam paras sebelum pandemik, kata MOM.

Sepanjang suku lalu, bilangan penduduk yang menganggur naik daripada 69,300 pada Jun lalu kepada 70,900 bulan lalu.

Bilangan pemberhentian kerja juga naik ke 1,600 dalam suku ketiga tahun ini daripada paras terendah 830 suku lalu.

Sebanyak 500 pemberhentian kerja itu adalah daripada sektor perkilangan, rata-rata disebabkan oleh penghentian pengeluaran produk, dan baki 1,100 adalah daripada sektor perkhidmatan, rata-rata disebabkan oleh penyusunan semula atau penstrukturan semula perniagaan.

"Peralihan negara kepada menjalani kehidupan dengan Covid-19, bersama dengan pelonggaran langkah pengurusan selamat dan sekatan sempadan secara beransur, telah menyokong pemulihan pasaran pekerja dalam suku-suku kebelakangan ini, walaupun terdapat tanda-tanda momentum yang semakin perlahan dalam suku ketiga," kata MOM.

"Dalam beberapa bulan akan datang, persekitaran ekonomi global yang merosot, inflasi global yang lebih tinggi, serta ketegangan geopolitik, akan memberi kesan kepada pasaran pekerja," tambahnya.

Mengenai prospek pengambilan pekerja, MOM berkata walaupun data ramalan menunjukkan bahawa sentimen pengambilan kerja secara keseluruhan dalam kalangan firma kekal optimistik, mungkin terdapat sedikit ketidaksamaan dalam pertumbuhan merentas sektor dalam suku terakhir tahun ini.

Permintaan dalam sektor berkaitan pelancongan dan pengguna dijangka kekal teguh, disokong oleh pemulihan ketibaan pelawat antarabangsa dan pengambilan pekerja sempena perayaan hujung tahun.

Ia juga berkata bahawa pekerjaan bukan penduduk dijangka terus pulih, sedang majikan mengisi jawatan kosong yang tertunggak.

MOM juga berkata kadar syarikat yang berhasrat menaikkan gaji dalam tempoh tiga bulan akan datang kekal stabil, dan ini menunjukkan bahawa firma kekal berhemat mengenai kenaikan gaji.

"Risiko lingkaran harga-gaji kekal rendah buat masa ini. Untuk pertumbuhan gaji yang mampan, gaji harus dinaikkan hanya seiring dengan peningkatan dalam produktiviti dan kemahiran pekerja," kata MOM.

Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay, berkata komen MOM tentang gaji itu diharapkan dapat meredakan ketakutan dan kebimbangan berhubung lingkaran harga-gaji dalam ekonomi.

"(Ia juga) untuk meyakinkan pasaran bahawa (keadaan itu) mungkin tidak di luar kawalan lebih-lebih lagi sedang syarikat dan perniagaan bertindak balas terhadap apa yang berlaku di seluruh dunia dan prospek yang agak bercampur-campur dan tidak menentu bagi 2023. Saya juga menjangkakan rakan kongsi tiga pihak mahu gaji dinaikkan seiring dengan produktiviti," katanya dalam satu kiriman Facebook.

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam satu kenyataan di Facebook semalam berkata: "Di tengah-tengah ketidaktentuan, pemerintah dan rakan kongsi tiga pihak kami akan terus menyokong majikan dan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi yang berubah-ubah."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg