Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pelajar keperluan khas naik sekitar 5% sepanjang 3 tahun lalu

Ekoran meningkatnya kesedaran selain usaha kenal pasti keadaan lebih awal
Feb 15, 2022 | 5:30 AM
SOKONGAN MASYARAKAT PERLU: Encik Chan menekankan perlunya sokongan seluruh masyarakat bagi membantu golongan yang berhadapan dengan cabaran dalam membesarkan anak berkeperluan khas. Bulan lalu, seorang ayah, Xavier Yap Jung Houn (kemeja-T merah) dituduh membunuh anaknya. Gambar merakamkan kunjungan pegawai polis dan Yap ke longkang di Upper Bukit Timah, tempat mayat anak kembarnya yang berkeperluan khas ditemui mati bulan lalu. - Foto BH oleh ONG WEE JIN
SOKONGAN MASYARAKAT PERLU: Encik Chan menekankan perlunya sokongan seluruh masyarakat bagi membantu golongan yang berhadapan dengan cabaran dalam membesarkan anak berkeperluan khas. Bulan lalu, seorang ayah, Xavier Yap Jung Houn (kemeja-T merah) dituduh membunuh anaknya. Gambar merakamkan kunjungan pegawai polis dan Yap ke longkang di Upper Bukit Timah, tempat mayat anak kembarnya yang berkeperluan khas ditemui mati bulan lalu. - Foto BH oleh ONG WEE JIN -

JUMLAH pelajar yang dilaporkan mempunyai keperluan pendidikan khas dalam sekolah aliran utama dan Sekolah Pendidikan Khas (Sped) telah meningkat sekitar 5 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan meningkatnya kesedaran dan usaha mengenal pasti keadaan itu lebih awal, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Encik Chan berkata sokongan disediakan kepada keluarga yang menjaga anak keperluan khas dalam setiap peringkat kehidupan mereka, dan pemerintah bersedia mencuba idea baru untuk membantu mereka dengan lebih baik.

Buat masa ini, sekitar 7,000 pelajar, atau sekitar 20 peratus daripada semua pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas, menghadiri 22 sekolah Sped yang sedia ada.

Sementara itu, sekitar 27,000 pelajar dengan keperluan pendidikan khas sederhana menghadiri sekolah aliran utama.

Encik Chan berkongsi perangkaan tersebut semasa menjawab soalan berkaitan sokongan yang disediakan kepada pelajar berkeperluan khas dan keluarga mereka berikutan kematian adik-beradik kembar berusia 11 tahun di Upper Bukit Timah bulan lalu.

Pasangan kembar lelaki itu dipercayai mempunyai keperluan khas, dan bapa mereka telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh.

Kes itu telah mengetengahkan tekanan yang mungkin dihadapi ibu bapa atau penjaga yang menjaga anak-anak berkeperluan khas, dengan beberapa Anggota Parlimen (AP) telah bertanyakan soalan tentang bantuan dan perkhidmatan yang disediakan kepada keluarga.

Encik Chan berkata pemerintah mengambil pendekatan seluruh masyarakat untuk menyediakan sokongan khusus kepada kanak-kanak dengan keperluan khas dan penjaga mereka dalam peringkat kehidupan yang berlainan.

Namun, beliau turut menekankan bahawa ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai rakan utama untuk memberikan pandangan berharga tentang keperluan unik anak-anak mereka.

"Ini sebabnya mengapa sekolah mendekati keluarga dengan lebih awal untuk mengetahui tentang keperluan anak mereka... Apabila sekolah dan keluarga berkomunikasi, mereka membina hubungan dan berkongsi strategi yang boleh digunakan di sekolah dan di rumah," kata Encik Chan.

Encik Chan berkata kanak-kanak berkeperluan khas diberikan sokongan sejak tahun-tahun awal mereka, di mana pengesanan awal dan campur tangan tepat pada masanya adalah penting.

Antaranya, kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai memerlukan campur tangan awal (EI) akan dirujuk kepada program EI yang sesuai berdasarkan tahap sokongan yang diperlukan, dengan kanak-kanak mungkin menerima bantuan di prasekolah atau pusat EI, bergantung pada program.

Dalam sekolah aliran utama, mereka yang memerlukan sokongan tambahan dalam celik huruf dan celik angka menyertai Program Sokongan Pembelajaran bagi Bahasa Inggeris dan Matematik dalam darjah satu dan dua.

Murid darjah tiga dan empat boleh menyertai program pemulihan disleksia di sekolah.

Sebanyak 37 sekolah pula telah melaksanakan skim Sokongan Peralihan bagi Penyepaduan - sebuah program bagi murid darjah satu dengan keperluan sosial dan tingkah laku yang diumumkan tahun lalu - dan lebih banyak sekolah akan mengadakannya, kata Encik Chan.

Kanak-kanak dengan keperluan lebih tinggi pula disarankan menghadiri sekolah Sped, yang mempunyai "arahan khusus dan kemudahan disesuaikan, guru dan karyawan bersekutu dilatih khas", ujar Encik Chan.

Ibu bapa juga mempunyai pilihan memindahkan anak mereka dari sekolah aliran utama ke sekolah Sped jika mereka mendapati anak mereka boleh diberi sokongan lebih baik di sana.

Encik Chan berkata Kementerian Pendidikan (MOE) menyediakan sokongan emosi dan bimbingan kepada ibu bapa dalam perjalanan menerima keperluan khas anak mereka.

Guru di sekolah Sped bekerja rapat dengan ibu bapa untuk bertukar-tukar maklumat tentang kemajuan anak mereka dan menyokong penggunaan kemahiran di rumah dan dalam masyarakat.

Setiap sekolah juga mempunyai seorang pekerja sosial yang boleh membantu keluarga dengan keperluan emosi atau kewangan tambahan, jika perlu.

Keluarga juga boleh mengakses program di luar waktu kurikulum seperti kegiatan dan lawatan semasa musim cuti kendalian sekolah atau Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) dengan kerjasama badan luar dan relawan.

MOE turut bekerjasama dengan sekolah Sped untuk merancang peralihan kehidupan selepas sekolah bagi pelajar semasa tahun-tahun sekolah menengah mereka. Ini dilakukan menenerusi program peralihan sekolah-ke-kerja, misalnya.

Meskipun bantuan disediakan kepada ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak berkeperluan khas, Encik Chan berkata sokongan seluruh masyarakat juga amat diperlukan.

"Kita tidak boleh berkata, 'Biarkan jiran lain tolong. Biarkan saudara-mara lain tolong. Biarkan syarikat lain ambil dia bekerja.' Kita tidak perlu tunggu satu sama lain - marilah kita semua mengambil langkah pertama.

"Beritahu mereka bahawa kita menghargai mereka dan anak-anak mereka. Marilah kita ingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian.

"Apabila ibu bapa perlukan rehat, marilah kita bermain atau menemani anak-anak mereka," kata beliau.

"Marilah kita menjadi sebuah masyarakat yang menghulurkan bantuan dalam kedua-dua kata-kata dan perbuatan untuk menunjukkan keprihatinan dan kebaikan," tambah Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg