Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pengguna pengangkutan awam junam; 75% untuk bas, 84% kereta api

May 5, 2020 | 6:14 PM
92b3feb6-84d9-4f4b-9a95-d2bc5b88b9f4
- - Foto BH oleh LIM YAOHUI

JUMLAH pengguna pengangkutan awam - bagi kedua-dua perkhidmatan bas dan kereta api telah merosot begitu ketara sekali disebabkan langkah pemutus rantaian jangkitan yang dilaksanakan pemerintah.

Jumlah pengguna bas telah menjunam sebanyak 75 peratus manakala 84 peratus bagi kereta api, kata Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, dalam jawapan bertulis sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Profesor Madya Dr Walter Theseira, di sidang parlimen ini berkenaan kesan langkah jarak selamat ke atas pengangkutan awam.

Tambah Encik Khaw, pendapatan daripada tambang juga merosot kira-kira 80 peratus berbanding sebelum praCovid-19.

Kos operasi seharusnya menurun jika bekalan disesuaikan dengan permintaan yang berkurangan, tetapi pengendali memilih untuk memastikan keupayaan perkhidmatan demi memastikan pengguna dapat mengekalkan jarak selamat.

"Malah, pengendali pengangkutan awam menghadapi kos tambahan, sedang mereka meningkatkan regim pembersihan bas, kereta api dan premis pengangkutan awam, melindungi kakitangan mereka dengan pelitup dan pelindung muka, serta menampung kos penginapan kapten bas warga negara Malaysia yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan, dan mengerahkan duta pengangkutan dan pegawai penguatkuasa bagi memastikan pengguna mematuhi jarak selamat," ujarnya.

Jelas Encik Khaw, kos-kos ini akhirnya perlu ditampung pengendali perkhidmatan dan pembayar cukai, memandangkan mereka tidak dilindungi secukupnya menerusi harga tambang sedia ada.

"Pengendali pengangkutan kita kini menghadapi tekanan kewangan cukup tinggi, sedang operasi kereta api mereka sudaha menghadapi kerugian sebelum Covid-19. Buat masa sekarang, kesan yang dihadapi pengendali pengangkutan awam sebahagiannya ditampung oleh langkah bantuan Pemerintah yang meluas seperti Skim Sokongan Pekerjaan, rebat cukai hartanah dan penepian levi pekerja asing. Penggantungan sementara Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) juga membantu mengurangkan kos pengendali bas," terangnya.

Beliau dalam pada itu menghargai pengendali pengangkutan awam kerana mengambil perspektif nasional, bekerja rapat dengan Pemerintah dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk memerangi penularan koronavirus bersama-sama.

"Meskipun mereka tertekan dengan keperitan kewangan, mereka terus mengutamakan usaha memerangi virus dan menyokong khidmat penting.

"Pascapandemik, kita akan melihat keadaan pengangkutan awam berkembang. Apakah permintaan untuk khidmat pengangkutan awam akan kembali ke paras sebelum pandemik? Atau warga Singapura memutuskan untuk kekal bekerja di rumah, dan jadual kerja yang fleksibel menjadi norma baharu? Atau lebih ramai warga Singapura akan berbasikal sebagai pilihan ke tempat kerja?," soalnya.

Kata Encik Khaw, adalah terlalu awal untuk menentukan keadaan dunia pascapandemik dan adalah masih awal untuk menilai kesan jangka panjang ke atas kewangan pengangkutan awam.

"Cukup sekadar dinyatakan pandemik akan mereka semula keadaan ekonomi mita, kehidupan kita dan bagaimana kita bergerak. Jika kesannya sangat ketara, kita perlu mengemaskini model kewangan sedia ada untuk pengangkutan awam," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg