Jumlah pasangan Islam yang mendirikan rumah tangga merosot ke paras terendah dalam tempoh sedekad pada 2025.

Sejumlah 5,006 pasangan Islam berkahwin pada 2025, merosot sekitar 13 peratus berbanding 5,778 perkahwinan pada 2015.

Angka tersebut lebih rendah daripada jumlah perkahwinan pada 2020 apabila Covid-19 melanda, iaitu 5,527 perkahwinan. Antara lain, sekatan pergerakan dilaksana pada tahun tersebut, antara langkah keselamatan untuk melindungi warga Singapura daripada dijangkiti virus itu.

Menyusuli itu, jumlah perkahwinan Islam meningkat ke tahap paling tinggi dalam sedekad pada 2021 - iaitu -6,228 perkahwinan.

Namun, selaras dengan penurunun yang dialami perkahwinan lain, bermula 2022, jumlah perkahwinan Islam merosot kepada 6,010, sebelum menjadi 5,396 pada 2023 dan seterusnya 5,184 pada 2024.

Meskipun jumlah perkahwinan Muslim merosot merentasi semua peringkat umur pada 2025 berbanding 2024. penurunan paling signifikan berlaku pada kumpulan pengantin berusia 25 hingga 34 tahun.

Bagi lelaki, bilangan perkahwinan bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun turun sebanyak 99 perkahwinan pada 2025, daripada 2,172 kepada 2,073.

Manakala kumpulan 30 hingga 34 tahun jatuh sebanyak 73 perkahwinan, daripada 1,155 kepada 1,082.

Trend yang sama juga dilihat bagi perempuan, di mana bilangan perkahwinan bagi usia 25 hingga 29 tahun berkurangan sebanyak 82 perkahwinan pada 2025, daripada 2,162 kepada 2,080.

Ia juga turun 70 perkahwinan bagi umur 30 hingga 34 tahun, daripada 901 kepada 831.

Secara keseluruhan, jumlah pasangan sivil dan Islam yang mendirikan rumah tangga pada 2025 ialah 24,688, turun daripada 26,328 pada 2024 dan 28,310 pada 2023.

Data terkini itu didedahkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam Laporan Trend Keluarga 2026 pada 10 Julai.

Laporan tahunan setebal 43 muka surat itu mengetengahkan data perkahwinan, perceraian, fasa awal kanak-kanak, dan ketahanan keluarga.

Dalam pada itu, MSF turut mendedahkan dapatan tinjauaan kualiti perkahwinan yang kali pertama dijalankan.

Dijalankan ke atas 3,000 pasangan, tinjauan kualiti perkahwinan tersebut menentukan tahap kualiti hubungan pasangan suami isteri dengan menggunakan beberapa petunjuk, kata MSF.

Walau semakin sedikit pasangan yang berkahwin, hampir 95 peratus pasangan Singapura – kedua-dua sivil dan Islam – gembira dengan perkahwinan mereka.

Sebanyak 92.8 peratus pula merasakan hubungan mereka berjalan dengan baik, manakala 78.3 peratus kerap meluahkan perasaan atau berkongsi rahsia dengan pasangan masing-masing.

Selain itu, sebanyak 88.3 peratus menyatakan mereka jarang atau tidak pernah terfikir untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

MSF mendapati bahawa responden yang melaporkan kualiti perkahwinan yang lebih tinggi juga cenderung mencatatkan ketahanan keluarga yang lebih tinggi.

“Ini sekali gus menyerlahkan peranan penting yang dimainkan oleh perkahwinan yang kukuh dalam membina keluarga yang berdaya tahan,” kata MSF.

Menyentuh mengenai dapatan ini semasa berucap di acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2026, di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada hari yang sama (10 Julai), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata kohort perkahwinan kebelakangan ini menunjukkan kestabilan yang lebih tinggi dari segi rumah tangga dan keibubapaan.

“Dan majoriti rakyat Singapura yang berkahwin terus melaporkan hubungan yang kukuh serta bahagia, dengan hampir 95 peratus pasangan suami isteri menyatakan mereka hidup bahagia bersama pasangan,” kata beliau.