Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pesakit berkurang di hospital bukti gelombang Covid-19 kian reda

Jun 26, 2024 | 6:03 PM
Jumlah jangkitan Covid-19 yang dianggarkan juga berkurang selama empat minggu berturut-turut.
Jumlah jangkitan Covid-19 yang dianggarkan juga berkurang selama empat minggu berturut-turut. - Foto ST

Gelombang Covid-19, didorong oleh subvarian KP.1 dan KP.2, jelas semakin reda, dan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan Unit Jagaan Rapi (ICU) akibat Covid-19 sepanjang empat minggu lalu menjadi bukti mengenai perkara tersebut.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata beliau “sememangnya bimbang” apabila kes pesakit yang dimasukkan ke hospital meningkat dengan cepat kepada sekitar 280 pada Mei apabila gelombang pertama jangkitan itu bermula, lapor The Straits Times (ST).

“Kita sedang memasuki musim percutian pertengahan tahun ketika itu. Jika kes teruk naik seganda sebanyak dua kali, daripada 280 kepada 560, dan kemudian kepada lebih 1,000, (ruang) yang sama dengan satu hospital serantau akan diisi oleh pesakit Covid-19 yang mengalami penyakit teruk,” kata Encik Ong di Facebook pada 25 Jun.

“Ini akan memberi kesan buruk kepada sistem penjagaan kesihatan kita, yang sudah sangat sibuk dan memanjangkan lagi masa menunggu.

“Mujurlah, jumlah kes pesakit dimasukkan ke hospital mencecah 370 dan kemudian mula berkurang. Trend menurun ini berterusan selama empat minggu sekarang,” ujar beliau.

Jumlah pesakit Covid-19 di hospital turun kepada 136 pada minggu bermula 16 Jun.

Jumlah jangkitan Covid-19 yang dianggarkan juga berkurangan selama empat minggu berturut-turut – daripada 24,800 pada minggu 19-25 Mei, kepada 8,760 bagi tempoh 16-22 Jun.

Jangkitan memuncak kepada 25,900 kes pada minggu 5-11 Mei.

Walaupun jangkitan kini semakin berkurang, Encik Ong mengingatkan bahawa “ini pastinya bukan gelombang jangkitan Covid-19 yang terakhir”.

“Dengan setiap gelombang, kami akan berasa bimbang tentang hospital yang dibebani dengan bilangan pesakit terlalu ramai.

“Ini kerana virus ini akan terus bermutasi, dan perlindungan vaksin kita akan mula berkurang, dan semakin lemah dengan masa yang berlalu,” katanya.

“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti, dan memaklumkan orang ramai dalam masa sesuai,” tambah beliau.

Varian KP.1 dan KP.2, yang bercabang daripada varian JN.1, adalah varian Covid-19 yang paling tersebar luas di peringkat sedunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasi varian baru KP.2 sebagai varian di bawah pengawasan pada 3 Mei, memberi isyarat kepada pihak berkuasa kesihatan awam bahawa varian Covid-19 tersebut mungkin memerlukan perhatian dan pemantauan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg