Topik diikuti
Pergi ke BHkuJumlah program budaya dan bahasa Melayu anjuran MAEC bertambah

Jumlah program budaya dan bahasa Melayu anjuran MAEC bertambah
JUMLAH kegiatan dan program budaya dan bahasa Melayu yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) telah berganda dalam tempoh tiga tahun lalu, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Berbanding hanya kurang 15 inisiatif berkaitan bahasa Melayu yang dianjurkan pada 2015, tahun ini terdapat sekitar 30 inisiatif yang telah diadakan.
Dr Faishal berkata demikian semasa berucap di satu sesi menjalin rangkaian bersama relawan akar umbi MAEC dan guru bahasa Melayu di The Grassroots' Club di Ang Mo Kio tadi.
Malah, beliau berkata MAEC di sini telah mengadakan pelbagai kegiatan budaya dan bahasa Melayu sejak beberapa minggu lalu sempena Bulan Bahasa.
Antaranya ialah acara "Semarak Warisan, Adat Disanjung" anjuran bersama MAEC di GRC Nee Soon dengan penyertaan pelajar beberapa sekolah, yang disertai bukan hanya pelajar Melayu, malah individu berlainan bangsa untuk mempelajari dan menghargai budaya dan bahasa Melayu.
Dr Faishal berkata keupayaan MAEC mendekati penduduk dan mengumpulkan individu pelbagai bangsa bersama merupakan kekuatan MAEC.
"MAEC juga berkesan dalam melaksanakan program dan kegiatan di peringkat akar umbi dan setempat.
"Mereka dapat bekerjasama dengan pelbagai rakan, seperti sekolah, badan kebajikan sukarela dan badan agama untuk mengadakan program dan kegiatan bermakna untuk penduduk," kata beliau.
Dengan kerjasama para guru bahasa Melayu dari Kementerian Pendidikan (MOE) dan MAEC, Dr Faishal yakin lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi mempromosi budaya dan bahasa Melayu.
Sesi menjalin rangkaian yang pertama kali diadakan itu dianjurkan bersama Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) Persatuan Rakyat bersama MAEC dengan kerjasama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew (LKYFB), Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) dan Kumpulan Kerja Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).