TIDAK sampai seminggu selepas pasukan silat Singapura mengecapi kejayaan membanggakan di Sukan SEA di Hanoi, kesedihan pula melanda dengan pemergian mendadak jurulatih silat, Encik Mochammad Ichsan Nur Romadhon.

Jurulatih kelahiran Indonesia yang berusia 33 tahun itu meninggal dunia awal pagi semalam dalam satu kemalangan jalan raya di Bali.

Allahyarham dikatakan sedang bercuti bersama keluarganya selepas tamat Sukan SEA pada Isnin lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.

Persekutuan Silat Singapura (Persisi) telah mendapatkan khidmatnya selama lapan tahun dengan beliau merupakan salah seorang daripada empat jurulatih yang menyelaras pesilat dalam acara tanding di Hanoi, di mana beliau membantu melatih mereka hingga membawa pulang tiga pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa.

Keseluruhannya, pasukan silat Singapura menang besar dengan empat pingat emas, tiga pingat perak dan empat pingat gangsa - pencapaian paling cemerlang dalam sesi sukan serantau yang diadakan dua tahun sekali.

Ketua pegawai eksekutif Persisi, Sheik Alau'ddin yang dihubungi akhbar The Straits Times menganggap pemergian Allahyarham Romadhon sebagai satu kehilangan besar.

"Walaupun beliau dari Indonesia, beliau memberi jiwa raganya kepada kami dan mengharungi jatuh bangun bersama skuad kami sepanjang lapan tahun bersama kami. Kami benar-benar rasakan kesedihan kehilangannya." jelas Sheik Alau'ddin.

Beliau menambah Allahyarham dan keluarganya sedang di lebuh raya dari Bali menuju ke Surabaya apabila nahas kereta itu berlaku.

Isterinya mengalami kecederaan kepala dan dikejarkan ke hospital manakala anak-anaknya cedera ringan.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Persisi berkata:

"Sangat disayangi semua orang dalam masyarakat silat, jurulatih Romadhon telah menyumbang banyak kepada pencapaian pasukan kami.

"Salam takziah seikhlasnya kepada orang-orang tersayang dalam hidupnya."

Persisi turut mengumpul sumbangan buat balu Allahyarham Romadhon.

Mereka yang ingin menyalur sumbangan menerusi PayNow atau pindahan bank boleh berbuat demikian dengan berurusan dengan Persisi menerusi laman Facebook.