MELIHAT pendapatan segelintir rakan-rakannya terjejas akibat Covid-19, Encik Sudirman Othman, 40 tahun, tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan.
Sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Henderson itu terpanggil untuk menabur bakti dalam inisiatif #SGUnited Buka Puasa.
Dalam waktu lapangnya, beliau akan mengagihkan paket makanan percuma di Kelab Masyarakat Henderson.
Inisiatif itu bertujuan membantu golongan susah, pekerja jagaan kesihatan, penerima zakat dan mereka yang terjejas oleh Covid-19.
Ia dilancarkan pada hari pertama Ramadan, iaitu pada 24 April, dan akan dijalankan hingga 23 Mei.
"Saya lihat ada sesetengah kawan-kawan saya yang mana pendapatan mereka kurang sejak Covid-19 ini.
"Dengan mengagihkan makanan percuma di bawah inisiatif #SGUnited Buka Puasa, saya harap dapat bantu meringankan beban mereka," kata jururawat di sebuah syarikat swasta itu.
Di Kelab Masyarakat Henderson, kira-kira 300 paket makanan diagihkan kepada 90 penerima manfaat setiap hari.
Encik Sudirman, yang telah bergiat dalam kerja sukarelawan selama lebih 20 tahun, merupakan antara 20 sukarelawan di sana.
Setiap hari, sukarelawan bertugas akan menghadirkan diri di kelab masyarakat pada sekitar 4 petang.
Mereka kemudian akan mengambil paket makanan yang dihantar dan membawa serta menyusun paket itu di tempat pengambilan yang tersedia, kongsi Encik Sudirman.
Pada sekitar 5.15 petang, dan selama sejam, penerima manfaat akan datang untuk mengambil paket makanan masing-masing.
Ditanya apa perbezaan menjalankan kerja sukarelawan semasa Covid-19 dan sebelum ini, Encik Sudirman menjawab kekurangan interaksi bersama penerima manfaat.
"Ini kerana kita perlu amalkan jarak selamat," katanya.
Encik Sudirman juga terdorong untuk turut serta dalam usaha ini kerana ingin menunjukkan penghargaannya kepada petugas di barisan hadapan dalam bidang perubatan yang sama sepertinya.
"Petugas di barisan hadapan di hospital sedang bertungkus-lumus melawan virus, penat lelah mereka hanya Allah sahaja yang tahu.
"Inilah satu cara untuk saya hargai pengorbanan serta kuatkan semangat mereka," tambahnya.
"Saya lihat ada sesetengah kawan-kawan saya yang mana pendapatan mereka kurang sejak Covid-19 ini. Dengan mengagihkan makanan percuma di bawah inisiatif #SGUnited Buka Puasa, saya harap dapat bantu meringankan beban mereka... Petugas di barisan hadapan di hospital sedang bertungkus-lumus melawan virus, penat lelah mereka hanya Allah sahaja yang tahu. Inilah satu cara untuk saya hargai pengorbanan serta kuatkan semangat mereka." - Encik Sudirman Othman, yang tampil menghulurkan bantuan pada masa lapangnya dengan mengagihkan paket makanan percuma di Kelab Masyarakat Henderson dalam inisiatif #SGUnited Buka Puasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg