Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kad Raya Pelita Hati

Jun 11, 2019 | 5:30 AM
KAD PENGGANTI DIRI: Sarah (bukan nama sebenar) agak tersentuh dengan nasihat ibunya dalam kad Hari Raya dan berkongsi dengan Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun.
KAD PENGGANTI DIRI: Sarah (bukan nama sebenar) agak tersentuh dengan nasihat ibunya dalam kad Hari Raya dan berkongsi dengan Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun. -

Rasa rindu yang dipendam 50 keluarga terubat apabila mereka menerima kad ucapan Hari Raya daripada anggota keluarga yang dipenjarakan. Usaha tersebut sebahagian projek 'Pelita Hati', yang dianjurkan buat kali pertamanya oleh Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) dengan kerjasama Yayasan Mendaki, Khidmat Penjara Singapura (SPS) dan Biro Narkotik Pusat (CNB). Selain kad itu, mereka menerima habuan seperti baju kurung, kuih-muih dan baucar daripada penaja. Wartawan ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) menyelami hati dua keluarga terlibat.

`SEJAK berusia dua tahun, Sarah (bukan nama sebenar) tidak begitu mengenali ibu bapanya kerana mereka dalam penjara.

Justeru, hati pelajar 13 tahun itu tersentuh apabila menerima kad Hari Raya daripada ibunya.

Kata perangsang seperti tekun dan beri tumpuan pada pelajaran serta menjadi orang baik sedikit sebanyak mengubat rindu anak itu terhadapnya.

Sarah, anak bongsu dalam keluarga dua beradik yang menetap dengan datuk dan nenek, berkata:

"Apabila saya menerima kad itu, saya rasa agak tersentuh.

"Walaupun saya terluka dengan tindakan ibu meninggalkan saya pada usia kecil, saya tetap bersyukur beliau masih hidup, memikirkan tentang diri saya dan sayangkan saya.

"Saya juga lega beliau berusaha ingin berubah."

Ditanya apakah isi kad yang meninggalkan kesan dalam hati, Sarah berkata dia menghargai perangsang dan pesanan disampaikan.

"Dalam kad itu, beliau menyuruh saya memberi tumpuan kepada pelajaran, buat lebih baik dalam hidup pada masa depan.

"Beliau juga memesan agar saya tidak menjadi sepertinya dan memilih pasangan yang boleh menerima saya seadanya. Ibu menasihatkan agar bijak memilih pasangan hidup kerana, kalau tersalah pilih, ia akan menghancurkan kehidupan," ujarnya.

Surat pertama yang diterima daripada ibunya ialah sewaktu dia berusia 12 tahun.

Dia juga mengakui bahawa ketiadaan ibu dan bapa selama ini banyak memberi kesan dalam dirinya.

"Pada satu peringkat semasa di sekolah rendah, saya tidak dapat mengawal emosi dan sering marah terutama sekali terhadap guru. Hingga hari ini, memang saya rasa terjejas dengan ketiadaan mereka," ujarnya.

Lantas, projek kad Hari Raya tersebut boleh menjadi penghubung antara keluarga dengan individu dalam tahanan.

Buat ibunya, yang dijangka bebas tidak lama lagi, Sarah termenung sejenak, sambil meluahkan harapan:

"Saya benar-benar berharap ibu akan berubah dan berhenti merokok. Saya berharap beliau akan berubah menjadi seperti dirinya dulu, menjadi orang baik dan tidak lupa solat."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg