Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar ERP di PIE, CTE naik $1 mulai 4 Jan 2027
Kadar ERP di PIE, CTE naik $1 mulai 4 Jan 2027
Pemandu yang melalui beberapa bahagian Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) dan Ekspreswe Central (CTE) akan membayar lebih $1 bagi caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) pada dua waktu sibuk mulai 4 Januari 2027.
Mengumumkan semakan itu pada 16 November, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan mereka yang melalui PIE (Kallang Bahru dan jalan tol ke Bendemeer) antara 8.30 dan 9 pagi akan membayar $5, naik daripada $4, berkuat kuasa 4 Januari 2027.
Sementara itu, mereka yang menuju utara di CTE sebelum PIE antara 5 dan 5.30 petang akan dikenakan caj $1 mulai tarikh yang sama.
LTA berkata kenaikan itu disebabkan oleh kesesakan lalu lintas yang dikesan di sepanjang lebuh raya tersebut pada Oktober.
Namun sebelum kenaikan pada Januari berkuat kuasa, pemandu akan menikmati potongan $1 bagi kadar ERP di 12 lokasi pada waktu tertentu dari 23 November hingga 31 Disember.
12 lokasi tersebut ialah:
1) AYE sebelum Alexandra menuju ke bandar
2) AYE selepas Jurong Town Hall menuju ke bandar
3) CTE arah selatan sebelum Braddell Road
4) CTE arah selatan selepas Braddell Road dan jalan susur PIE ke CTE arah selatan
5) Lorong Tambahan (Auxiliary Lane) CTE arah selatan ke PIE (Changi)/Serangoon Road
6) CTE arah utara selepas PIE
7) CTE arah utara sebelum PIE
8) MCE arah timur sebelum keluar ke Central Boulevard dan di jalan susur dari Marina Boulevard
9) KPE (ECP) selepas Defu Flyover
10) PIE (Adam Road dan Mount Pleasant)
11) PIE (Kallang Bahru dan jalan susur ke Bendemeer)
12) PIE arah barat sebelum Eunos Link
Kadar biasa di kawasan tersebut akan dikenakan semula pada 4 Januari 2027, dengan caj di semua gantri ERP lain kekal tidak berubah sepanjang tempoh akhir tahun yang dinyatakan.
Sementara itu, LTA memberi amaran bahawa pemandu mungkin berdepan caj tambahan pada 2027 sekiranya kesesakan berterusan di kawasan berikut:
1) CTE menuju SLE berhampiran pintu masuk Braddell Road
2) KPE menuju MCE berhampiran pintu masuk Airport Road