Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar faedah Akaun Khas CPF, MediSave dinaikkan pada suku ke-3

Kadar faedah bagi Akaun Biasa dan Akaun Persaraan kekal tidak berubah pada 2.5 peratus dan 4 peratus
May 29, 2023 | 8:04 PM
KADAR FAEDAH DINAIKKAN: Akaun Khas dan MediSave bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan meningkat kepada 4.01 peratus setahun bagi tempoh bermula 1 Julai hingga 30 September.
KADAR FAEDAH DINAIKKAN: Akaun Khas dan MediSave bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan meningkat kepada 4.01 peratus setahun bagi tempoh bermula 1 Julai hingga 30 September. - Foto fail

KADAR faedah Akaun Khas dan MediSave (SMA) bagi anggota Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan meningkat kepada 4.01 peratus setahun – peningkatan daripada 4 peratus – bagi tempoh bermula 1 Julai hingga 30 September.

Ini berikutan peningkatan dalam hasil purata 12 bulan bagi Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun, yang mana kadar faedah SMA ditambat.

Demikian menurut Lembaga CPF dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, yang ditukil laporan The Straits Times.

Pemerintah telah mengekalkan kadar faedah 4 peratus bagi Akaun Khas (SA), MediSave dan Persaraan sejak 2008. Ini adalah kali pertama kadar SMA meningkat melebihi 4 peratus sejak itu.

Sementara itu, kadar faedah bagi Akaun Biasa (OA) dan Akaun Persaraan (RA) kekal tidak berubah, masing-masing pada kadar 2.5 peratus dan 4 peratus setahun.

“Pemerintah memerhatikan persekitaran kadar faedah dengan teliti untuk memastikan tambatan kadar faedah CPF kekal relevan dalam persekitaran operasi semasa sambil mengambil kira prospek jangka panjang,” tambah kenyataan itu.

Pencarum CPF berumur di bawah 55 tahun akan terus memperoleh faedah tambahan 1 peratus setahun bagi $60,000 pertama untuk baki gabungan OA dan RA, dihadkan pada $20,000 untuk OA.

Sementara itu, mereka yang berumur 55 tahun ke atas akan melihat lebih banyak faedah dibayar bagi akaun mereka.

Selain menerima faedah tambahan 2 peratus bagi $30,000 pertama untuk baki gabungan OA dan RA, dihadkan pada $20,000 untuk OA, mereka juga akan menerima 1 peratus bagi $30,000 yang seterusnya.

Kadar faedah konsesi untuk pinjaman perumahan HDB juga tidak berubah dalam tempoh ini, iaitu 2.6 peratus setahun.

Kenaikan kadar faedah untuk SMA juga akan sepadan dengan kenaikan siling gaji bulanan untuk sumbangan CPF daripada $6,000 kepada $6,300, yang akan bermula pada 1 September

Had itu akan ditingkatkan secara berperingkat kepada $8,000 menjelang Januari 2026, dengan kenaikan pada Januari 2024 dan Januari 2025, yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Belanjawan pada 14 Februari.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata kenaikan siling gaji bulanan akan membantu rakyat Singapura yang berpendapatan sederhana untuk menyimpan lebih banyak bagi persaraan, di samping seiring dengan kenaikan gaji.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan pada siling gaji tahunan, yang menetapkan jumlah maksimum sumbangan CPF yang perlu dibayar untuk semua gaji yang diterima dalam setahun.

Pada masa ini, ia ditetapkan kepada $102,000 dan termasuk gaji biasa dan gaji tambahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg