Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar guna tenaga naik bagi usia 65 tahun ke atas, stabil bagi umur 55 hingga 64 tahun

Oct 6, 2021 | 5:30 AM
e7d462ec-db09-44a9-bc26-312f8a5b232e
-

KADAR guna tenaga (kadar tenaga buruh yang bekerja) bagi mereka berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 27.6 peratus pada 2019 kepada 28.5 peratus tahun lalu, kata Men-teri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Bagi golongan usia 55 hingga 64 tahun pula, kadar guna tenaganya kekal stabil lebih 67 peratus, walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang.

"Ini setanding dengan purata tiga negara teratas dalam kumpulan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Kadar tawaran pengambilan bekerja semula dalam kalangan kakitangan penduduk sektor privet layak dan ingin terus bekerja juga kekal tinggi, iaitu lebih 90 peratus pada 2020," kata Dr Tan di Parlimen semalam semasa menjawab soalan Cik Jessica Tan (GRC East Coast) dan Cik Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol).

Cik Tan bertanya tentang trend dan sokongan bagi pengambilan bekerja semula warga emas, sementara Cik Yeo bertanya mengenai jumlah individu yang telah mendapat manfaat daripada Pakej Bantuan Pekerja Lanjut Usia yang diperkenal tahun lalu.

Pakej bantuan itu merangkumi empat skim - Kredit Pekerjaan Warga Emas, Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia, Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan dan Imbangan Peralihan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Dr Tan berkata 482,000 pekerja lanjut usia telah mendapat manfaat daripada Kredit Pekerjaan Warga Emas, yang menyediakan majikan imbangan gaji hingga 8 peratus bagi menggajikan pekerja berusia 55 tahun dan ke atas.

Sejak skim itu dimulakan pada 1 Januari lalu, hampir $150 juta telah diagih kepada 86,000 majikan.

Bagi Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia pula, yang menggalak majikan melaksana usia persaraan dan usia pengambilan bekerja semula dalaman lebih tinggi daripada usia minimum mengikut undang-undang, 21,000 pekerja lanjut usia daripada 2,800 syarikat telah mendapat manfaat daripada skim itu antara 1 Julai tahun lepas hingga 31 Ogos lalu.

Lebih 19,000 pekerja lanjut usia di sekitar 2,000 syarikat juga telah mendapat manfaat daripada Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan dalam tempoh sama.

Geran itu menyokong majikan yang memberi komitmen terhadap dasar pengambilan bekerja semula secara sambilan apabila pekerja lanjut usia yang layak memintanya.

Dengan kadar penyertaan baik itu, pemerintah telah menokok lebih $200 juta bagi Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia dan Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan pada Februari lalu, kata Dr Tan.

Ini di samping $100 juta yang diberi kepada geran tersebut tahun lalu.

Skim Imbangan Peralihan CPF pula akan berkuat kuasa tahun depan dan akan memberi majikan imbangan gaji peralihan yang setara dengan 50 peratus kenaikan dalam kadar sumbangan CPF majikan.

Kadar sumbangan CPF bagi pekerja berusia lebih 55 tahun hingga 70 tahun akan dinaikkan hingga dua mata peratusan mulai 1 Januari tahun depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg