JUMLAH kes jenayah fizikal yang dilaporkan pada 2022 meningkat sedikit kepada 20,193 - peningkatan 4.4 peratus - berbanding 19,343 pada 2021.
Peningkatan ini adalah sejajar dengan kelonggaran sekatan Covid-19 dan permulaan semula lebih banyak aktiviti umum.
Sungguhpun begitu, perangkaan tersebut masih lebih rendah daripada jumlah kes yang dilaporkan sebelum pandemik, di mana 23,980 kes dicatatkan pada 2019.
Demikian perangkaan yang dikongsi Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam sidang media Taklimat Jenayah Tahunan di kompleks New Phoenix Park, Khamis.
Menurut pengarah bertindak operasi SPF, Penolong Pesuruhjaya (AC) Gregory Tan, situasi kes jenayah di Singapura masih di bawah kawalan, walaupun jenayah fizikal meningkat pada 2022.
"SPF akan terus meningkatkan usaha pastikan jenayah fizikal dapat dikawal di kala kita kembali kepada norma baru pascapandemik," katanya.
Awal daripada itu, SPF juga mengumumkan perangkaan bagi jumlah kes penipuan dan jenayah siber pada Rabu, 8 Februari, di mana 33,669 kes telah dicatatkan pada 2022 - kenaikan sebanyak 25.2 peratus berbanding 2021.
Pengumuman berasingan tersebut julung-julung kalinya dibuat setelah "kes penipuan telah meningkat dan membentuk sebahagian besar jenayah keseluruhan" dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut penolong pengarah divisyen komunikasi awam SPF, Cik Brenda Ong.
SPF turut berkongsi bahawa kes mencabul, kecurian barang kedai dan kes kecurian di tempat kediaman mencatatkan peningkatan pada 2022 berbanding 2021.
Bagi kes mencabul, jumlah tersebut telah meningkat kepada 1,610 dan membentuk 8 peratus daripada jumlah kes jenayah fizikal - naik dari 1,474 pada 2021.
Dalam pada itu, SPF juga mengingatkan orang awam supaya kekal berwaspada meskipun kes jenayah fizikal berada terkawal.
Naib Pengerusi Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), Encik Tan Puay Kern, berkata:
"Kita harus kekal berwaspada dan amalkan langkah pencegahan pada setiap masa."
Laporan lanjut: Kes cabul naik, bentuk 8% jumlah jenayah fizikal
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg