KADAR penggunaan unit jagaan rapi (ICU) meningkat kepada 72.7 peratus kelmarin, naik daripada 67.1 peratus pada hari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Kadar jangkitan mingguan juga meningkat daripada 1.05 pada Isnin lalu kepada 1.09 kelmarin.
Angka yang lebih tinggi daripada 1.0 bermakna bilangan kes Covid-19 masih meningkat setiap minggu.
Terdapat 3,496 jangkitan baru Covid-19 dilaporkan kelmarin, meningkat lebih 1,000 daripada yang dilaporkan pada Isnin.
Ini termasuk 3,352 kes dalam masyarakat, 141 pekerja migran di dormitori dan tiga kes import.
Kes dalam masyarakat termasuk 538 pesakit berusia lebih 60 tahun.
Kes Covid-19 di Singapura kini berjumlah 204,340.
Seramai sembilan orang berusia antara 53 dengan 93 tahun terkorban akibat komplikasi Covid-19.
Kesemuanya kecuali dua yang terkorban mempunyai masalah perubatan lain, kata MOH.
Ini membawa jumlah kematian Covid-19 di Singapura kepada 430.
Terdapat 1,710 pesakit di hospital, dengan 308 memerlukan sokongan oksigen. Pesakit di ICU berjumlah 74 orang. Seramai 64 orang juga dalam keadaan kritikal di ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 138 daripada 396 katil di ICU digunakan oleh pesakit Covid-19. Lagi 150 digunakan pesakit bukan Covid-19 dan 108 katil ICU kosong.
Institusi Kesihatan Mental (IMH) melaporkan sembilan kes baru kelmarin, membawa jumlah kes kelompok itu kepada 287 kes. Seramai 271 ialah pesakit dan 16 kakitangan.
Kelompok lain yang dipantau MOH ialah rumah penjagaan NTUC di Geylang East dengan empat kes baru dan Banyan Home di Pelangi Village di Buangkok dengan tiga kes baru.
Acacia Home di Admiralty, Rumah Masyarakat bagi Warga Emas AWWA di Ang Mo Kio dan Hospital St Luke di Bukit Batok masing-masing mempunyai tambahan satu kes, sementara rumah warga emas Jamiyah di Tampines mempunyai dua lagi kes.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg