Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar perkahwinan, bercerai di SG turun tahun lalu

Pandemik Covid-19 antara faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan: Jabatan Statistik
Jul 8, 2021 | 5:30 AM
354c4de0-680c-457f-b2fc-c839f720db7e
-

BILANGAN perkahwinan di Singapura merosot 10.9 peratus kepada 22,651 tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, menurut perangkaan baru yang dikeluarkan Jabatan Statistik semalam.

Tahun lalu juga, sebanyak 6,959 perkahwinan pula berakhir dengan perceraian atau pembatalan, satu kemerosotan 8.7 peratus berbanding 7,623 kes sedemikian pada tahun sebelumnya.

Ini merupakan angka terendah kes perceraian dan pembatalan perkahwinan sejak 2006.

Laporan oleh Jabatan Statistik itu menyebut pandemik Covid-19 sebagai faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan perkahwinan dan perceraian itu.

Kemerosotan perkahwinan "disebabkan gangguan daripada pandemik Covid-19, termasuk sekatan Pemutus Litar dan langkah pengurusan selamat bagi majlis pernikahan dan jamuan sejak Mac 2020".

Oleh itu, purata perkahwinan dalam tempoh lima tahun lalu ialah 26,255 setiap tahun, lebih rendah daripada purata 27,635 antara 2011 dan 2015.

Menurut laporan itu lagi, kadar perkahwinan dalam kalangan lelaki ialah 35.7 bagi setiap 1,000 lelaki berusia antara 15 hingga 49 tahun yang tidak berkahwin pada 2020. Ini merosot daripada 39.3 pada 2010.

Kadar perkahwinan bagi wanita pula ialah 34.9 bagi setiap 1,000 wanita berusia 15 hingga 49 tahun yang tidak berkahwin pada 2020. Ini merosot sedikit berbanding 35.3 pada sedekad lalu.

Laporan itu turut menunjukkan trend kededua lelaki dan wanita yang berkahwin lebih lewat.

Antara 2010 dan 2020, usia median bagi perkahwinan pertama meningkat daripada 30.0 tahun kepada 30.4 tahun bagi pengantin lelaki, dan 27.7 tahun kepada 28.8 tahun bagi pengantin perempuan.

Jurang usia antara pasangan dalam perkahwinan pertama juga telah mengecil dalam tempoh sedekad lalu.

Pada 2020, seramai 42.1 peratus pasangan dalam perkahwinan pertama berusia sebaya atau beza usia setahun, meningkat daripada 35.4 peratus pada 2010.

Seramai 18.1 peratus pasangan pula mempunyai jurang usia dua tahun, meningkat daripada 15.5 peratus dalam tempoh sama.

Bilangan pasangan yang jurang usia mereka sekurang-kurangnya lima tahun pula telah merosot kepada 19.2 peratus pada 2020, daripada 28.3 peratus pada 2010.

Dari segi perceraian dan pembatalan perkahwinan pula, laporan itu berkata pandemik Covid-19, termasuk langkah semasa tempoh Pemutus Litar, juga mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kes tersebut.

Antara 2016 dan 2020, purata kes cerai dan pembatalan ialah 7,424 setiap tahun, rendah sedikit berbanding 7,439 dalam tempoh lima tahun sebelum itu.

Kadar perceraian juga telah merosot bagi kededua lelaki dan wanita sepanjang dekad yang lalu.

Terdapat 6.3 lelaki bercerai bagi setiap 1,000 lelaki berkahwin berusia 20 tahun dan ke atas pada 2020, merosot daripada 7.5 pada 2010.

Terdapat pula 6.1 wanita bercerai bagi setiap 1,000 wanita berkahwin berusia 20 tahun dan ke atas pada 2020, turun daripada 7.2 pada 2010.

Usia median individu semasa bercerai juga telah meningkat daripada usia 41.0 tahun pada 2010 kepada 43.2 tahun pada 2020 bagi lelaki.

Bagi wanita, usia itu meningkat daripada 37.4 tahun kepada 39.5 tahun dalam tempoh sama.

Tempoh median perkahwinan bagi pasangan yang bercerai pada 2020 ialah 10.4 tahun, agak sama dengan 10.6 tahun pada 2010.

Pasangan yang berkahwin selama lima hingga sembilan tahun masih membentuk bahagian besar (29.4 peratus) daripada semua perceraian pada 2020.

Laporan bertajuk Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, 2020 boleh didapati di laman SingStat di www.singstat.gov.sg.

PERANGKAAN PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN 2020

PERKAHWINAN

- 22,651 perkahwinan pada 2020, merosot 10.9% daripada 2019

- Trend kahwin lambat:

Usia median perkahwinan pertama pengantin lelaki: naik daripada 30.0 tahun (2010) kepada 30.4 (2020); pengantin wanita: 27.7 tahun (2010) kepada 28.8 tahun (2020)

PERCERAIAN

- 6,959 kes perceraian atau pembatalan pada 2020, turun 8.7% berbanding 7,623 (2019)

- Tempoh median perkahwinan bagi pasangan bercerai pada 2020 ialah 10.4 tahun, berbanding 10.6 tahun (2010)

- Perkahwinan 5-9 tahun bentuk bahagian besar (29.4%) perceraian pada 2020

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg