Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar warga yang merokok setiap hari tidak banyak berubah

Kadar warga yang merokok setiap hari tidak banyak berubah
KADAR kelaziman masyarakat Melayu yang merokok tahun lalu adalah yang tertinggi berbanding kaum Cina dan India.
Sedang kaum Melayu Singapura membentuk 22.4 peratus mereka yang lazim merokok setiap hari, kaum Cina membentuk 8.6 peratus berbanding masyarakat India pula 9.2 peratus.
Peratusan tersebut tidak banyak berubah pada 2019 bagi perokok Melayu, di mana 23 peratus didapati merokok setiap hari berbanding 8.6 peratus masyarakat Cina dan 10.9 peratus kaum India.
Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2021 melaporkan bahawa dalam kalangan penduduk Singapura yang merokok setiap hari, usia mereka mula merokok adalah 17 tahun.
Usia mereka yang benar-benar menjadikan merokok satu tabiat harian adalah 19 tahun.
"Dalam kalangan perokok muda harian - mereka yang berusia 18 hingga 24 tahun - dianggarkan mereka mula merokok pada usia 16 tahun dan menjadikannya tabiat harian pada usia 17 tahun."
Dapatan NPHS juga menunjukkan bahawa anggaran bilangan batang rokok yang dihisap sehari dalam kalangan perokok adalah 11 batang.
Kaum Adam yang merokok setiap hari menghisap sekitar 12 batang sehari, berbanding lapan batang bagi perokok kaum Hawa.
Perokok harian dalam lingkungan usia 60 hingga 74 tahun dianggar merokok sehingga 13 batang sehari - angka tertinggi - berbanding perokok dalam kumpulan usia lain.
Sementara itu, sekitar separuh (49.4 peratus) perokok harian mempunyai hasrat untuk berhenti merokok.
Namun, hanya satu dalam lima atau 18.4 peratus bercadang berhenti merokok dalam tempoh 12 bulan akan datang atau kurang.
Lebih kurang satu dalam setiap empat (27.5 peratus) menyatakan yang mereka tidak bercadang berhenti merokok langsung, namun merancang mengurangkan bilangan batang rokok yang dihisap.
Perokok harian yang mengelak daripada merokok untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sepanjang 12 bulan lalu melaporkan secara purata mereka telah cuba berhenti merokok tiga kali sepanjang 12 bulan lalu sebelum tinjauan itu dilakukan.