Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadi, Naib Kadi diperkasa kemahiran bantu pasangan hadapi cabaran hidup

May 31, 2022 | 5:30 AM
KEUPAYAAN PERLU DIPERTINGKAT: Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan peranan penting Kadi dan Naib Kadi dalam mendampingi dan memberi sokongan kepada pasangan yang memerlukan semasa acara sambutan Hari Raya Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) baru-baru ini. - Foto MCCY
KEUPAYAAN PERLU DIPERTINGKAT: Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan peranan penting Kadi dan Naib Kadi dalam mendampingi dan memberi sokongan kepada pasangan yang memerlukan semasa acara sambutan Hari Raya Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) baru-baru ini. - Foto MCCY -

RANGKA kerja bagi menyelaras usaha membangunkan keupayaan Kadi dan Naib Kadi telah dilancarkan demi memastikan mereka diperkasa dengan kemahiran yang sesuai dalam memainkan peranan lebih meluas dalam mendampingi pasangan mengharungi cabaran perkahwinan.

Rangka Kerja Latihan Bersamamu itu bertujuan melengkapkan Kadi dan Naib Kadi dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan serta menyokong pembangunan profesional golongan tersebut.

Mengumumkan langkah tersebut semasa semasa acara sambutan Hari Raya Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) baru-baru ini, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata keprihatinan asatizah terhadap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga jelas kelihatan.

"Namun, kita akur bahawa dalam mendampingi pasangan, Kadi dan Naib Kadi harus diperkasa dengan kemahiran sesuai dengan peranan mereka yang semakin besar," katanya semasa acara yang juga merupakan sesi Rahat ketiga bagi Kadi dan Naib Kadi.

Justeru, rangka kerja yang dibangunkan pihak ROMM, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu telah dimulakan bagi mempertingkat usaha pembangunan keupayaan mereka, katanya.

Di bawah rangka kerja itu, kesemua Kadi dan Naib Kadi perlu menghadiri latihan bagi mempersiap diri memainkan peranan lebih luas dalam Bersamamu.

Dua laluan telah disediakan iaitu laluan umum atau 'generalist track' yang melibatkan semua Kadi dan Naib Kadi serta laluan khusus atau 'specialist track' untuk sekumpulan Kadi dan Naib Kadi yang berminat mempertingkat keupayaan mereka menjadi pakar dalam isu-isu kekeluargaan.

Tujuan laluan khusus itu adalah untuk membentuk Kadi dan Naib Kadi pakar yang dapat melatih dan membimbing Naib Kadi lain, memberi sokongan lanjut kepada pasangan yang memerlukannya serta menjalankan pendidikan perkahwinan berasaskan kajian atau bukti.

Selain ROMM, Muis dan MSF, rangka kerja tersebut juga dibentuk melalui kerjasama dengan agensi-agensi Bidang-Bidang Tumpuan Pertama (FA1) M Kuasa Tiga (M3).

Rangka kerja tersebut juga selaras dengan Rangka Kerja Kecekapan Kerjaya (CCF) Muis dan masa yang diluangkan melalui latihan tersebut boleh dijadikan sebahagian daripada Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

"Latihan berterusan akan disediakan dan saya amat berharap anda semua terus memberi sokongan dan kerjasama dengan mengikuti latihan yang bakal diadakan demi memperbaiki dan memperelok lagi pelaksanaan tugas yang mencabar ini," ujarnya.

Program 'Bersamamu' merupakan satu program utama untuk memperkukuh keluarga Melayu/Islam di bawah Bidang Tumpuan Pertama (FA1) M3 - Perkahwinan, Keibubapaan, dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Sejak dilancarkan pada 2019, Kadi dan Naib Kadi telah berjaya mendekati lebih 16,000 pasangan melalui sesi bersemuka program 'Bersamamu', kata Dr Faishal.

Tambahnya: "Maklum balas daripada pasangan menunjukkan bahawa mereka mendapati sesi ini amat berkesan dalam mempersiap diri untuk memulakan kehidupan baru sebagai suami isteri.

"Bimbingan serta nasihat yang dikongsi oleh Kadi and Naib Kadi amat dihargai oleh mempelai kita."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg