Satu kaedah pedagogi baru untuk membantu guru pendidikan awal kanak-kanak (EC) menyemak dan menambah baik amalan pengajaran mereka akan dilancarkan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pada separuh kedua 2025.
Alat Pengajaran Kualiti (QTT), yang direka dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dalam Kanak-kanak Pembangunan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), merupakan garis panduan mengenai cara penyampaian secara berkesan – bertujuan membimbing para pendidik menjadi lebih berkemahiran dalam amalan pengajaran mereka.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata ia adalah antara tiga inisiatif yang diperkenalkan Ecda untuk mengukuhkan pembangunan profesional guru EC.
Berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa dan Latihan Tahunan Ecda yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City pada 11 Oktober, Encik Masagos berkata:
“Kaedah ini akan menumpukan pada tiga bidang – bina hubungan saling percaya dengan kanak-kanak, memupuk kesejahteraan kanak-kanak, dan mereka persekitaran pembelajaran serta menyelaras pembelajaran yang bermakna.
“QTT bertujuan meningkatkan kesejahteraan, pembelajaran, dan perkembangan holistik kanak-kanak dengan bina hubungan saling mempercayai antara guru dengan kanak-kanak melalui interaksi positif, promosikan kesejahteraan yang memupuk nilai dan kemahiran sosial-emosi, serta mencipta persekitaran pembelajaran yang menggalak bermain, pemikiran kritis, perkembangan bahasa, serta pengawalan diri.”
Ecda dalam satu kenyataan pada 11 Oktober berkata: “Guru boleh gunakan kaedah ini untuk mengenal pasti kekuatan dan bidang pertumbuhan masing-masing, sambil mengasah kemahiran pedagogi dengan pemimpin pusat dan pendidik kanan mereka.”
Ia boleh dijadikan sebagai panduan bagi mereka dalam meningkatkan kesejahteraan, pembelajaran dan perkembangan holistik kanak-kanak, tambah Ecda.
Selain itu, Encik Masagos melancarkan Panduan Pendidik Rangka Kerja Pembangunan Awal (EYDF) yang telah dikemas kini.
Ia, yang merupakan panduan untuk pendidik bagi kanak-kanak yang baru lahir sehingga berusia tiga tahun, kini menampilkan senario kes dalam konteks Singapura, serta cadangan strategi dan latihan reflektif bagi para pendidik.
Mulai awal 2025, para guru boleh menggunakannya untuk menyemak amalan pusat mereka dan meningkatkan mutu program awal kanak-kanak.
“Ia mengandungi contoh pengalaman pembelajaran dan lebih banyak senario berasaskan amalan.
“Seperti contoh cara menggunakan penjagaan dan rutin sebagai peluang untuk memupuk pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak,” kongsi Encik Masagos.
Pada masa yang sama Encik Masagos meluahkan harapannya agar ia akan membantu guru menerapkan konsep utama EYDF ke dalam amalan harian di bilik darjah.
Semasa majlis itu juga, seramai 283 guru EC menerima anugerah. Antaranya ialah seorang penerima biasiswa Ecda dan 13 penerima Anugerah Latihan (TA).
Guru di Prasekolah Skool4Kidz, Cik Nur Rosleena Muhammad Roslee, yang menerima TA, berkata: “Anugerah ini mengiktiraf usaha saya dan mendorong saya untuk terus memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, boleh berkembang maju.
“Ia menguatkan kepercayaan saya dalam kepentingan pendidikan inklusif dan juga akan membuka pintu kepada peluang untuk berkongsi pengetahuan dan bekerjasama dengan mereka yang mempunyai semangat serupa dalam membentuk ruang pembelajaran inklusif.”
Sejak 2015, Ecda telah melabur lebih $104 juta untuk menyokong lebih daripada 3,300 guru EC dalam mengejar aspirasi kerjaya mereka dan untuk menambah baik kualiti profesional sektor tersebut.
Biasiswa Ecda diberikan kepada guru yang berpotensi memainkan peranan pekerjaan lebih besar dalam sektor EC, manakala Anugerah Latihan Ecda menyokong bakal pendidik memenuhi matlamat kerjaya mereka serta menyokong keperluan tenaga kerja sektor ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg