Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian bakal bantu S’pura guna hidrogen bersih lebih cepat

50 peratus keperluan tenaga di sini manfaatkan bahan api mesra alam jelang 2050
Aug 11, 2024 | 5:41 PM
Menjelang 2030, Singapura akan membina sekurang-kurangnya sembilan loji kuasa yang sesuai dengan bahan api mesra alam seperti hidrogen.
Menjelang 2030, Singapura akan membina sekurang-kurangnya sembilan loji kuasa yang sesuai dengan bahan api mesra alam seperti hidrogen. - Foto ST

Satu kajian sedang dijalankan untuk membantu Singapura menggunakan hidrogen rendah karbon dengan lebih cepat, apabila teknologi tenaga baru itu berjaya secara komersial pada masa hadapan, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Hidrogen rendah karbon, sejenis bahan api lebih mesra alam berbanding gas asli, boleh membekalkan sehingga 50 peratus keperluan tenaga Singapura menjelang 2050, bergantung kepada kemajuan teknologi dan pembangunan sumber tenaga lain.

Gas asli kini membekalkan sekitar 95 peratus daripada keperluan tenaga elektrik Singapura.

Untuk menyediakan asas bagi penggunaan hidrogen karbon rendah secara cekap dan menjimatkan, EMA kini mengambil khidmat syarikat perunding untuk mengenal pasti pelbagai dasar, daripada pemilikan dan pengendalian prasarana hidrogen, kepada skim insentif dan pembiayaan, yang perlu dilaksanakan, lapor The Straits Times (ST).

Menjelang 2030, Singapura akan membina sekurang-kurangnya sembilan loji kuasa yang sesuai dengan hidrogen.

Bagaimanapun, pakar dan pemain industri menyatakan, walaupun prasarana ‘sedia hidrogen’ sedang dibangunkan, masih terdapat beberapa halangan yang menghambat penggunaan teknologi itu, dengan faktor kos menjadi penghalang utama.

Pada masa ini, kos hidrogen hijau masih tiga hingga lima kali lebih tinggi daripada gas asli.

Syarikat PacificLight yang berpangkalan di Singapura sudah “bersedia dari segi teknikal” untuk beralih kepada hidrogen, kata jurucakapnya.

Ia sedang membina dua unit penjanaan kuasa yang boleh membakar sehingga 75 peratus hidrogen sebaik sahaja turbinnya beroperasi menjelang suku kedua 2025.

“Bagaimanapun, pada masa ini kos menghasilkan hidrogen hijau masih tinggi dan prasarana yang diperlukan untuk menyokong penggunaan (hidrogen) berskala besar masih perlu dibangunkan,” tambah beliau.

Anak syarikat EMA, Meranti Power, yang mempunyai loji kuasa sedia hidrogen yang dijangka beroperasi mulai Jun 2025, akan menggunakan gas asli sebagai bahan api utama, sehingga satu rangkaian bekalan hidrogen dapat diwujudkan secara komersial, kata jurucakapnya.

Seorang jurucakap Persatuan Hidrogen dan Sel Bahan Api Singapura (HFCAS) menyatakan bahawa usaha mencapai kos yang agak sama antara gas asli dengan hidrogen hijau yang diimport menjelang 2030, memerlukan pengurangan besar dalam kos pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan hidrogen hijau.

Dalam pada itu, subsidi dan sokongan dasar pemerintah turut memainkan peranan penting dalam peralihan tersebut, tambahnya.

Selain subsidi, beberapa langkah lain juga mungkin diperlukan, kata rakan kongsi bersekutu di syarikat perundingan pengurusan sedunia, Bain & Company, Encik Are Kaspersen.

Ini termasuk keperluan beralih kepada bahan api karbon lebih rendah untuk penjanaan kuasa, dan menyokong pembangunan prasarana untuk mengurangkan halangan dan kos pendahuluan.

Hidrogen dianggap sebagai bahan api bersih kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida yang memanaskan bumi apabila dibakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg