INSTITUT Kesihatan Mental (IMH) telah melancarkan sebuah kajian seluruh negara bagi mengenal pasti isu khusus, cabaran dan masalah psikologi biasa yang memberi kesan ke atas golongan muda di Singapura.
Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan itu bertujuan mengetahui keadaan kesihatan mental utama dalam kalangan golongan muda, mengenal pasti faktor peribadi dan sosial berkaitan keadaan itu dan tahap keperluan rawatan yang tidak dipenuhi.
Penyelidik IMH juga akan mengkaji bagaimana golongan muda berumur 15 hingga 35 mengalami peralihan besar dalam kehidupan, seperti bergerak merentasi pelbagai peringkat pendidikan untuk menyertai pasaran pekerjaan dan memulakan keluarga, kata institut itu dalam satu kenyataan semalam.
"Ini ialah untuk menilai kesan ke atas kesihatan mental dan mengenal pasti risiko dan faktor perlindungan hasil kesihatan mental buruk unik bagi peringkat ini," kata IMH.
Sekitar 2,600 orang berumur 15 hingga 35 tahun akan ditemu bual untuk kajian itu. Responden akan ditanya satu set soal selidik yang akan mengumpul maklumat tentang latar belakang sosio-demografi mereka dan maklumat berkaitan kesihatan mental, perasaan, pengalaman di sekolah atau tempat kerja, sokongan sosial dan tingkah laku gaya hidup.
Kajian itu akan fokus pada pelbagai "aspek dan tingkah laku tumpuan belia" yang dikaitkan dengan kesihatan mental dan kesejahteraan, seperti membuli, mencedera diri sendiri, penggunaan alkohol, merokok, penggunaan media sosial, ketagihan telefon pintar dan akademik.
Ia juga akan mengumpul pandangan tentang betapa puas golongan muda akan persekitaran hidup mereka, misalnya tahap kepercayaan terhadap pemerintah, rasa selamat di kawasan kejiranan mereka dan inklusiviti sosial.
Pengumpulan data bagi kajian itu dijalankan dari bulan depan hingga Jun tahun depan. Data itu akan dianalisis dan hasilnya dijangka siap hujung 2024, kata IMH.
Kajian Kesihatan Mental Singapura pada 2010 dan 2016 tertumpu sebahagian besarnya pada penduduk dewasa di sini.
Dapatan kedua-dua kajian menunjukkan golongan muda berumur 18 hingga 34 tahun mempunyai kadar gangguan mental tertinggi dan lebih terdedah kepada gangguan mood serta kebimbangan, kata Dr Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan untuk penyelidikan di IMH.
Sekitar 21.6 peratus belia di Singapura juga pernah mengalami sekurang-kurangnya satu keadaan kesihatan mental, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg