Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Lelaki Melayu lebih berisiko alami gout tidak dikawal dengan baik

Faktor kewangan mungkin sumbang kepada cabaran pesakit Melayu urus gout
Dec 9, 2024 | 7:15 PM
Menurut satu kajian oleh Poliklinik SingHealth (SHP) yang diterbitkan pada November 2023, lelaki Melayu di Singapura yang mempunyai masalah jantung lebih berisiko mengalami penyakit gout yang tidak dikawal dengan baik berbanding kaum lain di sini yang tidak ada masalah jantung.
Menurut satu kajian oleh Poliklinik SingHealth (SHP) yang diterbitkan pada November 2023, lelaki Melayu di Singapura yang mempunyai masalah jantung lebih berisiko mengalami penyakit gout yang tidak dikawal dengan baik berbanding kaum lain di sini yang tidak ada masalah jantung. - Foto fail

Lelaki Melayu di Singapura, terutama yang mempunyai masalah jantung, lebih berisiko mengalami penyakit gout yang tidak dikawal dengan baik berbanding kaum lain yang tidak ada masalah jantung.

Demikian dapatan kajian ke atas hampir 8,000 penghidap gout yang dirawat di lapan Poliklinik SingHealth (SHP) antara Januari 2018 dengan Disember 2019, dan diterbitkan pada November 2023.

Gout adalah sejenis penyakit yang disebabkan asid urik berlebihan dalam badan. Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin.

Badan membuang bahan kumuhan itu melalui air kencing tetapi bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan terkumpul dalam sendi.

Kajian itu mendapati jika dibandingkan dengan lelaki Cina, lelaki Melayu mempunyai risiko 1.27 kali lebih tinggi untuk mengalami penyakit gout tidak dikawal dengan baik.

Dalam kalangan lelaki yang mempunyai masalah kegagalan jantung kongestif pula, lelaki Melayu mempunyai risiko 1.64 kali lebih tinggi mengalami gout tidak dikawal dengan baik berbanding lelaki yang tidak ada masalah jantung.

Berkongsi dapatan kajian itu dalam satu taklimat media pada 9 Disember, seorang doktor keluarga di Poliklinik Marine Parade yang juga antara penulis utama kajian itu, Dr Prawira Suartha Oka, berkata lelaki Melayu dan pesakit yang mempunyai paras asid urik tinggi berdepan risiko lebih tinggi mengalami gout yang tidak dikawal dengan baik.

“Berdasarkan banci 2020, pendapatan median bagi setiap ahli isi rumah adalah yang terendah dalam kalangan individu Melayu, berbanding India dan Cina.

“Jurang perbezaan ekonomi ini mungkin menyumbang kepada cabaran dalam mengurus gout secara berkesan dalam kalangan pesakit Melayu, tetapi sebab di sebalik peningkatan kejadian sedemikian masih tidak jelas,” katanya.

Berdasarkan banci 2020, pendapatan median setiap ahli isi rumah kaum Melayu ialah $1,594, berbanding $2,603 bagi Cina dan $2,521 bagi India.

Dapatan kajian itu berhubung individu Melayu membuka ruang bagi pelaksanaan kajian susulan, misalnya dalam memahami kawalan gout merentas kaum, tambah beliau.

Dalam satu kenyataan pada 9 Disember, SingHealth berkata pesakit gout yang ada masalah kegagalan jantung kongestif mempunyai risiko lebih tinggi barangkali kerana mereka sering diberi diuretik – sejenis ubat yang melawaskan pembuangan air kencing – untuk mengawal tahap aliran.

Ini, menurutnya, boleh meningkatkan tahap asid urik dan meningkatkan risiko serangan gout serius.

Kajian itu mendapati dalam kalangan 7,970 penghidap gout lelaki dan wanita, 2,244 mengalami gout tidak dikawal dengan baik – hampir tiga dalam 10 pesakit.

Sebahagian besar (lebih sembilan dalam 10) daripada mereka adalah lelaki.

Gout tidak dikawal dengan baik ditakrifkan kajian itu sebagai pesakit yang menghidap serangan gout sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.

Pengarah Kajian SHP, yang juga salah seorang penulis kajian itu, Profesor Madya Klinikal Tan Ngiap Chuan, berkata dapatan kajian itu membantu melakar usaha menyokong pesakit gout bagi mengurangkan risiko serangan kerana “ia sesuatu yang dapat dicegah dengan strategi yang betul”.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg