Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian: Masih ada ibu bapa disiplin anak secara fizikal, meski tak berkesan
Kajian: Masih ada ibu bapa disiplin anak secara fizikal, meski tak berkesan
Kajian: Masih ada ibu bapa disiplin anak secara fizikal, meski tak berkesan
MESKIPUN kebanyakan ibu bapa menganggap disiplin fizikal tidak berkesan dan tidak boleh diterima, satu kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa ia masih digunakan dengan kerap.
Dalam satu projek kajian Persatuan Kanak-Kanak Singapura dengan kerjasama Kolej Yale-NUS, Persatuan Kanak-Kanak menegaskan disiplin fizikal kaedah yang tidak berkesan terhadap kanak-kanak.
Ia melibatkan tindakan disiplin di mana kanak-kanak mengalami kesakitan, tetapi bukan kecederaan, dengan tujuan mengawal atau membetulkan tingkah laku mereka.
Manakala disiplin psikologi melibatkan amalan seperti kasih sayang terhadap anak-anak bergantung pada tingkah laku yang baik, ataupun ibu bapa akan meluahkan perasaan malu atau kecewa terhadap salah laku mereka.
Walaupun disiplin fizikal dapat mencapai pematuhan dan perhatian kanak-kanak secara serta-merta, golongan belia yang ditinjau dan mengalami disiplin fizikal pada zaman kanak-kanak melaporkan mereka tidak menimba sebarang pengajaran moral.
Kajian itu dilaksanakan menerusi dua bahagian - memahami perspektif dan pengalaman 747 ibu bapa serta penjaga (berusia 29 hingga 47 tahun); dan kedua tumpuan kepada 667 belia berusia 18 hingga 25 tahun mengenai pengalaman mereka dengan kaedah disiplin sebelum 18 tahun.
Menerusi kajian itu, terdapat percanggahan antara sikap dengan tingkah laku sebenar ibu bapa terhadap kaedah disiplin.
Walaupun lebih setengah yang ditinjau menganggap disiplin fizikal tidak berkesan dan tidak menerimanya, ia tetap digunakan dengan kerap.
Ketua pegawai eksekutif Persatuan Kanak-kanak Singapura, Cik Ang Boon Min, berkata:
"Dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan disiplin, Persatuan Kanak-kanak boleh mengkaji cara untuk menyokong ibu bapa dan penjaga ke arah keibubapaan yang positif."
Seorang pegawai kajian, Cik Nabilah Mohammad, berharap menerusi dapatan itu ia dapat membantu ibu bapa lebih memahami disiplin terhadap kanak-kanak.
"Saya harap kajian ini dapat meningkatkan pengetahuan bahawa disiplin fizikal tidak berkesan dan juga menggalak ibu bapa untuk lebih proaktif dalam memahami perkembangan kanak-kanak serta strategi lain untuk mendisiplin kanak-kanak," ujarnya semalam.
Antara faktor ibu bapa menjalankan disiplin fizikal juga bergantung kepada emosi dan keadaan ibu bapa pada waktu itu. Ramai ibu bapa juga mengalami disiplin fizikal apabila mereka membesar dan mempunyai pandangan positif terhadapnya.
Di kalangan pengalaman belia pula, walaupun mempunyai hubungan tidak erat dengan ibu bapa dan kesejahteraan sosioemosi yang lebih lemah, ramai yang ditinjau masih akan menggunakan disiplin fizikal jika mereka menjadi ibu bapa.
Penemuan kajian itu menyarankan walaupun ibu bapa tidak bersetuju dengan penggunaan disiplin fizikal, pengalaman mereka semasa kanak-kanak meningkatkan kemungkinan mereka menggunakannya terhadap anak-anak mereka.
Timbalan pengarah Oasis for Minds Services Persatuan Kanak-kanak Singapura, Cik Vivyan Chee, berkata:
"Kami percaya ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
"Oleh itu dengan sokongan bersama ibu bapa lain, ia dapat lebih memahami akan panduan keibubapaan kerana setiap kanak-kanak tidak sama."
