Ada yang menganggap sesetengah kelas pengajian Islam separuh masa diadakan secara terlalu formal atau terlalu mencabar.

Ada pula yang dihimpit rasa segan, takut dihakimi atau dipandang serong dek kurang pengetahuan tentang Islam.

Faktor-faktor ini antara sebab yang menjadi penghalang bagi segolongan masyarakat – termasuk orang dewasa dan kanak-kanak – untuk menyertai kelas pengajian Islam secara separuh masa walaupun mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk mendalami ilmu Islam, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.

Encik Kadir menambah sebab-sebab yang dikongsinya itu bukan sekadar penghalang kecil yang boleh mencetus keprihatinan.

Malah, ia telah menghambat masyarakat untuk menemui laluan pengajian Islam yang sesuai dengan mereka, walaupun mempunyai hasrat yang besar untuk mendalami ilmu agama.

“Berdasarkan dapatan kajian Muis, ia memaparkan bahawa keinginan untuk mendalami ilmu pengetahuan Islam dalam kalangan masyarakat masih kuat.

“Namun, kami juga dapati, ada yang merasakan sesetengah program pengajian Islam yang ditawarkan terlalu formal, terlalu mencabar dan tidak fleksibel.

“Ada yang menyedari banyak lagi ilmu yang mereka tidak ketahui, selain daripada apa yang sudah mereka pelajari sejak kecil.

“Hal ini membuat mereka menanggung kerisauan secara senyap dek takut dihakimi atas ilmu yang tidak mereka tahu,” ujar Encik Kadir.

Encik Kadir berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya mengenai dapatan awal hasil kajian Muis yang sedang berlangsung, dan juga pemerhatian peribadinya, sewaktu menghadiri pameran LearnIslam Fest 2026 yang berlangsung di Singapore Expo pada 4 Julai.

Kajian yang dimaksudkan Encik Kadir itu telah dijalankan Muis, antara lain, untuk menyelidik trend penyertaan masyarakat setempat dalam memperoleh pendidikan Islam secara separuh masa.

Kajian dijalankan melalui perbincangan kumpulan fokus, yang diadakan daripada Jun hingga Julai, melibatkan warga Singapura berusia 18-50 tahun, termasuk ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah.

Ia dijangka lengkap pada September 2026.

Dalam kenyataannya, Muis berkata kajian tersebut menunjukkan ada permintaan kuat bagi pengajian Islam di setiap peringkat usia, dan peserta mahukan pendidikan agama yang melebihi teori, boleh dikaitkan dengan kehidupan harian, serta persekitaran pembelajaran yang memberi peserta rasa terlibat dalam komuniti.

Pada masa yang sama, kajian itu juga menunjukkan antara penghambat mendapatkan pendidikan Islam separuh masa di sini, ialah komitmen kerja dan keluarga, serta kurangnya program yang boleh memenuhi keperluan pelajar di peringkat pengajian berbeza-beza.

Dalam ucapannya, Encik Kadir akur jurang penyediaan pembelajaran agama sedemikian adalah antara yang ingin ditangani bersama Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) setempat.

“Kita perlu menilai dengan jujur.

“Adakah kita telah memudahkan orang ramai untuk mengambil langkah pertama?

“Adakah program kita cukup fleksibel, mesra dan relevan?

“Adakah kita benar-benar mendekati masyarakat mengikut tahap mereka dan memahami realiti kehidupan mereka?” kata Encik Kadir.

Dalam pada itu, 10 IECP di Singapura telah dilantik semula sebagai anggota Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG) bagi tempoh 2026 hingga 2028.

Mereka termasuk Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus, Cordova, Pusat As-Siddiq bagi Pengajian Islam (SimplyIslam), Ilham, Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim Singapura (IMSSA), Kolej Islam Muhammadiyah, Darul Arqam Singapura (MCAS), Perdaus, dan Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Ditubuhkan pada 2019, IEWG mengiktiraf sekumpulan IECP di Singapura untuk berkhidmat dengan cara yang lebih bertepatan dengan keperluan serta keinginan masyarakat Melayu/Islam di sini.

Ia juga bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan penyedia pendidikan bagi menggalakkan perkongsian amalan terbaik serta bersama-sama meningkatkan mutu pendidikan Islam separuh masa, kata Muis.

Pemeriksaan Berita Harian (BH) menunjukkan satu penyedia khidmat pengajian Islam, Darul Quran Singapura, tidak dilantik semula sebagai anggota IEWG.

Menjawab pertanyaan BH, jurucakap Muis berkata kumpulan kerja itu disemak secara berkala bagi memastikan ia kekal selaras dengan keutamaan semasa.

“Penyertaan adalah berdasarkan kesesuaian peranan setiap organisasi dengan fokus terkini kumpulan kerja tersebut. Usaha Darul Quran Singapura terus disokong melalui platform dan kerjasama sedia ada yang lain,” kata jurucakap tersebut.

“Ada yang menyedari banyak lagi ilmu yang mereka tidak ketahui, selain daripada apa yang sudah mereka pelajari sejak kecil. Hal ini membuat mereka menanggung kerisauan secara senyap dek takut dihakimi atas ilmu yang tidak mereka tahu.”
Encik Kadir Maideen, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).