Makan sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang sememangnya lebih baik untuk kesihatan anda berbanding makan daging.
Namun, ia tidak benar jika “daging” tersebut adalah pengganti daging berasaskan tumbuhan.
Satu kajian selama lapan minggu kendalian beberapa penyelidik di sini, yang melibatkan 82 peserta sukarelawan, mendapati bahawa diet produk pengganti daging berasaskan tumbuhan tidak mempunyai sebarang kelebihan dari segi kesihatan, berbanding diet berasaskan daging haiwan.
Malah, kajian yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada April itu menyatakan, berdasarkan hasil pemantauan kadar glukosa yang dibuat secara berterusan selama tiga hari, peserta yang mengambil diet daging haiwan mempunyai kawalan glisemik lebih baik, yang merupakan satu pertimbangan penting bagi pesakit kencing manis.
Penyelidik tersebut berkata dapatan tersebut menunjukkan bahawa walaupun terdapat banyak kajian yang membuktikan manfaat kesihatan bagi diet tradisional berasaskan tumbuhan, faedah kesihatannya tidak harus dikelirukan dengan yang diperoleh daripada diet daging tiruan berasaskan tumbuhan.
Pasukan dari Institut Inovasi Makanan dan Bioteknologi Singapura (SIFBI), sebuah institut penyelidikan di bawah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*star) itu menjalankan kajian tersebut memandangkan produk daging alternatif, atau pengganti daging berasaskan tumbuhan semakin popular di sini, lapor The Straits Times (ST).
Pasukan tersebut ingin melihat kesan pengambilan pengganti daging terhadap kesihatan kardiometabolik, termasuk jantung, saluran darah, serta kadar gula dalam darah, kadar kolesterol dan paras tekanan berbanding diet daging haiwan yang diamalkan kebanyakan orang.
Sepanjang lapan minggu, peserta menggantikan pengambilan protein biasa mereka dengan jumlah protein tetap yang disediakan oleh pasukan penyelidik itu, yang diketuai Encik Darel Wee.
Seramai 42 peserta yang mengambil diet daging berasaskan haiwan (ABMD) menerima enam jenis makanan sejuk beku seperti daging lembu cencang, dada ayam, kepingan daging burger, sosej dan ‘nugget’ ayam.
Seramai 40 orang yang mengambil diet daging berasaskan tumbuhan (PBMD) pula diberi produk daging dan ayam alternatif berjenama Impossible Beef (Impossible Foods), OmniMeat Mince (OmniFoods), Chickened Out Chunks dan Little Peckers (The Vegetarian Butcher), serta Beyond Burger dan Beyond Sausage Original Brat (Beyond Meat).
Semua peserta menjalani lawatan kajian secara peribadi pada permulaan dan sekali lagi pada akhir tempoh kajian serta sesi konsultasi dalam talian pada minggu kedua dan kelima.
Di samping itu, seramai 37 peserta menjalani pemantauan kadar glukosa berterusan selama 14 hari, dan seramai 40 peserta menjalani pemantauan tekanan darah ambulatori 24 jam.
Hasil kajian menunjukkan bahawa “bertentangan dengan hipotesis penyelidikan ini, kami gagal membuktikan sebarang manfaat jelas bagi PBMD (diet daging berasaskan tumbuhan) terhadap kesihatan kardiometabolik, berbanding ABMD (diet daging berasaskan haiwan) yang sepadan”, kata pasukan itu.
Bagaimanapun, satu penemuan amat penting bagi sejumlah 9.5 peratus penduduk di sini yang menghidap penyakit kencing manis.
Kajian tersebut mendapati bahawa kumpulan peserta yang mengambil diet daging haiwan mempunyai kawalan glisemik lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg