Kajian: Ramai wanita Melayu didiagnosis hidap barah buah dada agak terlalu lewat
Kajian: Ramai wanita Melayu didiagnosis hidap barah buah dada agak terlalu lewat
BARAH buah dada merupakan penyakit kompleks yang paling biasa dan menyebabkan banyak kematian di kalangan wanita di Singapura.
Menurut laporan Pendaftaran Barah Singapura yang dikeluarkan pada 2017, satu daripada 13 wanita di Singapura akan menghidap barah buah dada sebelum berusia 75 tahun.
Oleh itu, pengesanan awal, diagnosis awal dan rawatan awal amat penting bagi peluang remisi, atau kebah, dan pemulihan yang lebih baik, kata Perunding Divisyen Onkologi Perubatan Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS), Dr Tira Tan.
Meskipun begitu, beberapa trend pesakit Melayu yang menghidap barah buah dada, diperhatikan dalam kajian tempatan menunjukkan perlunya lebih banyak usaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan awal.
Satu kajian mengenai tingkah laku pemeriksaan kesihatan dalam kalangan rakyat Singapura, yang diterbitkan dalam jurnal Tahunan Akademi Perubatan, Singapura, mendapati sebilangan besar wanita Melayu didiagnosis menghidap barah buah dada pada peringkat akhir iaitu tahap tiga atau empat berkaitan dengan prognosis yang lebih buruk.
"Sekiranya tidak dirawat, barah buah dada akan tumbuh, menyerang struktur sekitarnya dan boleh merebak ke bahagian badan yang lain.
"Semasa barah itu merebak, ia mungkin boleh menyebabkan anda rasa sakit, menjadi ulser di kulit dan mengakibatkan kulit itu berdarah dan mungkin bernanah," jelas Dr Tan.
Dalam kajian yang sama, kadar menjalani ujian barah buah dada dalam kalangan pesakit Melayu berbanding kumpulan etnik lain adalah terendah.
Dalam satu wawancara e-mel bersama Dr Tan, beliau menjelaskan keadaan demikian boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti salah tanggapan atau rasa takut menjalani pemeriksaan itu.
"Antara salah tanggapan ramai adalah barah buah dada menyakitkan dan oleh itu jika terdapat ketulan yang tidak berkaitan dengan kesakitan, ia bukan barah.
"Selain itu, mungkin ada yang mendengar daripada keluarga atau rakan-rakan yang telah mengalami rawatan penyakit barah dan mengongsi pengalaman tersebut.
"Oleh itu, ketakutan bagi sesuatu keadaan yang tidak dapat dijangkakan mungkin menjadi penghalang bagi sesetengah wanita daripada mengorak langkah pertama memeriksa kesihatan mereka," kata Dr Tan.
Katanya lagi, ramai seharusnya tahu bahawa penyakit barah yang berbeza akan dirawat secara berbeza dan tidak semua orang akan mengalami kesan sampingan yang sama.
Menurut Dr Tan, sekiranya terdapat pengesanan awal, rawatan akan dilakukan dengan pelbagai kaedah yang juga melibatkan pembedahan.
Rawatannya termasuk terapi seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon.
Namun, jika pengesanan pada tahap terakhir, rawatannya akan mengawal barah itu selama mungkin yang berkaitan dengan peningkatan dalam mutu hidup.
Dengan rata-rata pesakit barah buah dada Melayu lebih muda, dengan usia rata-rata didiagnosis pada usia 49 tahun, Dr Tan menekankan kepentingan mendapatkan rawatan lebih awal demi meningkatkan peluang mengesan penyakit itu dan menjalani rawatan kuratif yang berpotensi.
"Jangan berlengah mendapatkan rawatan perubatan sekiranya anda mempunyai gejala yang anda bimbangkan.
"Dengan kemajuan teknologi dan perubatan, terdapat banyak pilihan bagi rawatan barah buah dada.
"Lebih ramai wanita berjaya pulih dan lebih ramai yang hidup dengan baik walaupun menghidap barah buah dada," ujarnya.
"... ketakutan bagi sesuatu keadaan yang tidak dapat dijangkakan mungkin menjadi penghalang bagi sesetengah wanita daripada mengorak langkah pertama memeriksa kesihatan mereka." "Jangan berlengah mendapatkan rawatan perubatan sekiranya anda mempunyai gejala yang anda bimbangkan. Dengan kemajuan teknologi dan perubatan, terdapat banyak pilihan bagi rawatan barah buah dada. Lebih ramai wanita berjaya pulih dan lebih ramai yang hidup dengan baik walaupun menghidap barah buah dada." - Dr Tira Tan, Perunding Divisyen Onkologi Perubatan Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS).

