Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Kak’ Diana tekad damping semua penduduk di Geylang Serai
Anggota Parlimen (AP) penggal pertama, Cik Diana Pang berkongsi pengalaman di GRC Marine Parade-Braddell Heights, selepas hampir dua tahun mewakili penduduk di sana.
‘Kak’ Diana tekad damping semua penduduk di Geylang Serai
Kepahitan dan keadaan ngeri yang tercetus tatkala rusuhan kaum di Singapura pada tahun 1960-an sukar dilupakan oleh sesiapa yang mengharungi sendiri detik hitam dalam sejarah Singapura itu.
Ia juga terpahat dalam minda Anggota Parlimen (AP) Cik Diana Pang.
Namun lebih daripada keadaan huru-hara di jalanan, orang ramai yang berteriakan sambil kalang-kabut berlari mencari tempat untuk bersembunyi, kenangan Cik Pang lebih terpaut pada kisah yang diceritakan ibunya, apabila ibunya diselamatkan sebuah keluarga Melayu.
Malah, enam dekad selepas insiden itu, Cik Pang, 52 tahun, berkata ibunya dan keluarga mereka masih berasa terhutang budi kepada keluarga tersebut.
“Ketika rusuhan itu berlaku, ibu saya sedang berjalan ke sekolah. Keadaan pada ketika itu sangat berbahaya.
“Satu keluarga Melayu telah membawanya masuk ke rumah mereka untuk melindunginya daripada rusuhan tersebut.
“Kalau bukan kerana mereka, entah apa yang mungkin berlaku kepadanya. Mungkin saya sendiri tidak akan berada di sini hari ini,” kata Cik Pang dengan nada yang sebak.
Keadaan tegang dan pertelingkahan yang dirujuk oleh Cik Pang itu adalah semasa rusuhan kaum berlakuya di Singapura pada tahun-tahun 1960-an, apabila kaum Cina dan Melayu bertempur dalam era politik tegang, sedang Singapura bersedia untuk bersatu dan kemudiannya berpisah daripada Malaysia.
Menjadi AP
Kisah itu sedikit sebanyak menanam kesedaran dalam jiwa Cik Pang mengenai peri penting keharmonian kaum dan agama dalam memastikan keamanan dalam negara, katanya.
Lantas, sebagai AP penggal pertama, antara tekad yang tersemat dijiwanya ialah untuk menjadikan usaha memelihara keharmonian tersebut sebagai satu perjuangan yang perlu beliau pertahankan.
Cik Pang memenangi kerusi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Beliau kini mewakili kawasan undi Geylang Serai, mengambil alih kerusi itu daripada Encik Fahmi Aliman yang berkhidmat sebagai AP dari 2020 hingga 2025 dan tidak bertanding pada GE2025.
Namun perubahan bagi kawasan undi itu rupa-rupanya berlanjutan selepas bahang pilihan raya reda.
Pada Julai 2026, pasukan lima anggota GRC Marine Parade-Braddell Heights kehilangan salah satu anggotanya, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang meletak jawatan dan mengundur diri daripada politik selepas ‘tersilap pertimbangan’ di media sosial.
Empat AP yang tinggal ialah Encik Seah Kian Peng, Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling dan Cik Pang.
Peletakan jawatan Dr Faishal telah menarik perhatian terhadap GRC tersebut yang kini tidak lagi mempunyai wakil AP Melayu.
Awal dari itu, kawasan undi Kembangan diterajui Dr Faishal. Selepas pengundurannya, penduduk di kawasan itu diwakili bersama oleh empat AP lain, termasuk Cik Pang, yang antara lain bergilir-gilir mengadakan sesi bertemu penduduk (MPS).
Sekitar sebulan selepas Dr Faishal meletak jawatan, pada 1 September, peguam dan anggota PAP Encik Ahmad Firdaus Daud mula berkhidmat sebagai Penasihat Kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade-Braddell Heights dan dikerahkan ke kawasan undi Kembangan.
Selaku penasihat akar umbi Geylang Serai, Cik Pang berharap orang ramai dapat menyambut kehadiran Encik Firdaus dan memberinya ruang dan sokongan untuk menjalankan tugasnya.
Pengalaman itu, antara lain menunjukkan kepada Cik Pang peri penting memastikan perihal dan keperluan penduduk sentiasa terjaga, sesuatu sikap yang kian dijiwainya, terutama juga di Geylang Serai, kata beliau.
Malah, apabila ditanya mengenai peranan yang dapat dimainkan dalam mengekalkan ikatan budaya Melayu yang kukuh di Geylang Serai, Cik Pang berkata beliau melihat dirinya sebagai seorang “kakak” bagi masyarakat di situ.
“Saya sini untuk menyokong masyarakat Melayu atau masyarakat Islam,” ujar beliau penuh kesungguhan.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama Berita Harian pada 1 Oktober, di mana beliau berkongsi bahawa Geylang Serai menempatkan lebih 160 rumah ibadah berbeza dan persatuan suku kaum seperti – Gereja Heart of God, Kuil Geylang United dan persatuan suku kaum Chan Khoo Kong Huay, serta tiga masjid – Masjid Khalid, Masjid Darul Aman, Masjid Wak Tanjong.
Selain itu, Geylang Serai turut menempatkan beberapa mercu tanda yang penting bagi masyarakat Melayu/Islam seperti Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Serai, Wisma Geylang Serai, Tanjong Katong Complex, Joo Chiat Complex dan Gerbang Ikonik di simpang tempat-tempat itu.
Sambil membawa wartawan Berita Harian menelurusi Joo Chiat Road, Cik Pang disapa mesra oleh pegerai yang mengenalinya. Ini termasuk pemilik Mastura Bakery, Cik Mastura Abdul Halil dan suaminya, Encik Affendi Husain.
Justeru, kata Cik Pang, adalah penting bagi beliau memastikan hubungan baik terus terjalin dalam kalangan semua pihak.
Usaha itu turut diterajuinya melalui penubuhan sebuah pasukan petugas pengantaraan di Geylang Serai pada 27 September, yang bertujuan menangani pertikaian antara jiran sejak di peringkat awal agar perselisihan tidak berlarutan dan hubungan sesama masyarakat terus terpelihara.
Seringkali punca perselisihan yang perlu ditangani, menurut Cik Diana, melibatkan aduan bunyi.
Berkongsi satu kisah, beliau berkata: “Ada kalanya keluarga itu mungkin mempunyai anak berkeperluan khas yang memerlukan lebih banyak perhatian, kasih sayang dan penjagaan.
“Apabila anak-anak ini membuat bising, misalnya, jiran mungkin berasa terganggu kerana tidak memahami keadaan yang dihadapi keluarga tersebut.
“Namun, apabila perkara ini dijelaskan kepada mereka, biasanya mereka akan cuba untuk lebih bertolak ansur.”
Dengan adanya pasukan petugas baharu, beliau berharap dapat memupuk persefahaman awal dan membina masyarakat lebih prihatin.
Selain itu, beliau juga telah menunjukkan komitmen untuk menyokong program-program belia.
Ini termasuk program ‘Geylang Serai Seram’ yang bakal berlangsung pada akhir Oktober sempena pesta Halloween, yang dianjurkan Rangkaian Belia Geylang Serai dan program lain seperti malam renung bintang ‘Sidewalk Astronomy’, dianjurkan bersama Wisma Geylang Serai pada Mac lalu.
Sejarah pemimpin Geylang Serai
Sejak 1963, kawasan undi Geylang Serai selalunya dipimpin AP PAP Melayu.
Bermula dengan Allahyarham Rahmat Kenap yang mewakili kawasan undi itu dari 1963 hingga 1980, beliau kemudian diganti dengan Encik Othman Haron Eusofe.
Encik Othman mengekalkan kerusi itu pada 1984. Mulai 1988, Geylang Serai menjadi sebahagian daripada GRC Marine Parade, dan Encik Othman terus menjadi wakil kawasan undi tersebut dalam pilihan raya umum 1988, 1991, 1997 dan 2001.
Pada 2006, Dr Fatimah Abdul Lateef mengambil alih sebagai wakil kawasan undi Geylang Serai dalam GRC Marine Parade.
Beliau terus memegang jawatan itu selepas pilihan raya umum pada 2011 dan 2015.
Dr Fatimah diganti dengan Encik Mohd Fahmi Aliman selepas GE2020.
Dalam GE2025, Cik Diana Pang menjadi wakil kawasan undi Geylang Serai dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas pasukannya menang tanpa bertanding.
Masa hadapan Geylang Serai
Berpandangan ke hadapan Cik Pang berharap dapat menjalinkan hubungan mesra bersama penduduk dan pegerai di Geylang Serai.
Menyifatkan kawasan tersebut sebagai satu ‘kampung’, beliau menzahirkan keinginan memupuk suasana di mana tiada penduduk, termasuk penduduk Melayu/Islam. segan untuk mendekati dirinya
Meski tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak begitu arif dalam agama Islam, Cik Pang berkata beliau sedia menyokong jika sebarang program atau kegiatan ingin dijalankan di kawasan undinya.
Beliau juga seseorang yang percaya bahawa sesuatu usaha harus memanfaatkan seluruh penduduk dan bukan sesuatu kumpulan semata-mata.
“Kami perlu bekerjasama dengan seluruh masyarakat Islam. Seperti yang saya katakan, apa sahaja perubahan yang kita lakukan di sini mesti membawa manfaat kepada semua, bukan hanya kepada kumpulan tertentu,” kata Cik Pang.
Kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan di Geylang Serai akan memastikan bahawa kesejahteraan penduduk akan dijaga buat jangka masa panjang, ujarnya lagi.