PENDUDUK Singapura kini boleh mendapatkan anggaran jumlah bayaran dan rebat yang akan mereka terima sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2023.

Dalam catatan Instagram dan Facebook pada Jumaat (17 Februari), Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata bahawa dengan banyak langkah sokongan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan Selasa, mungkin tidak begitu mudah untuk menjejak kesemuanya.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata walaupun rakyat Singapura boleh beralih kepada ChatGPT - platform kecerdasan buatan dalam talian yang baru-baru ini menggegegarkan seluruh dunia - platform itu mungkin tidak memberikan jawapan yang sangat tepat.

Ini adalah dalam konteks fakta bahawa ChatGPT mungkin tidak membantu dengan tepat bagi menganggarkan manfaat yang boleh diperolehi daripada Belanjawan.

Pasukan daripada Agensi Teknologi Pemerintah dan Kementerian Kewangan telah menghasilkan kalkulator dalam talian yang bertujuan untuk membantu orang ramai menganggarkan ganjaran yang boleh diterima oleh individu dan anggota isi rumah mereka di bawah pelbagai pakej dan skim, kata Encik Wong.

Belanjawan 2023 telah mendedahkan pelbagai penambahbaikan kepada bayaran dan skim sedia ada di bawah Pakej Jaminan, sambil memperkenalkan bayaran khas baru untuk tahun tersebut.

Pakej Jaminan dinaikkan kepada $9.6 bilion, meningkat daripada $8 bilion pada pengemaskinian yang dibuat pada November 2022 dan $6.6 bilion pada Belanjawan 2022.

Ia bertujuan menangani kesan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan kepada isi rumah, dan dipertingkatkan untuk turut mengambil kira inflasi yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Langkah lain dalam Belanjawan 2023 termasuk tambahan hadiah tunai Bonus Bayi, gandaan cuti paterniti yang dibayar pemerintah kepada empat minggu, serta peningkatan siling gaji bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Akses pada kalkulator ini boleh diperolehi menerusi laman http://go.gov.sg/supportforyoucalculator