Polis Trafik (TP) akan mengaktifkan secara berperingkat fungsi penguatkuasaan kelajuan dalam kamera lampu merah (RLC) mulai suku kedua 2024, terutama di kawasan yang pemandu biasanya memandu laju dan kerap berlaku kemalangan.
Ini disebabkan bertambahnya kesalahan memandu laju di kawasan tersebut pada 2023 menurut perangkaan terkini TP.
Kini terdapat 252 RLC seperti itu di pelbagai lokasi di seluruh negara. Lokasinya disenaraikan di laman Pasukan Polis Singapura (SPF).
Mula beroperasi pada 2015, RLC ditempatkan di simpang jalan terpilih dan mengesan kenderaan yang melakukan kesalahan melanggar lampu merah. Dengan fungsi baru ini, RLC akan juga mengesan kenderaan yang memecut melebihi had laju.
Menurut satu kenyataan SPF pada 22 Februari, bilangan pelanggaran had laju di lokasi yang mempunyai kamera penguatkuasaan trafik berkurangan kepada 52,237 daripada 73,152 pada 2022. Bagaimanapun, jumlah kesalahan sedemikian yang dikesan oleh operasi penguatkuasaan polis yang lain meningkat 22 peratus kepada 63,468, daripada 52,016 pada 2022.
Ini menunjukkan pemandu memilih untuk memecut di lokasi yang mereka fikir tiada penguatkuasaan, tambahnya.
Ketua Pasukan Unit Rondaan, Penolong Superintenden Polis (ASP) Alex Au berkata: “Kamera penguatkuasaan melengkapkan operasi penguatkuasaan seluruh pulau oleh pegawai TP dengan membantu membentuk tingkah laku pemandu di lokasi tertentu, supaya pegawai TP boleh menjalankan tugas penguatkuasaan lain di tempat lain.
“Pemandu kenderaan harus mematuhi had laju dan mematuhi undang-undang jalan raya tanpa kira sama ada terdapat penguatkuasaan atau tidak. TP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas ke atas mereka yang mendatangkan bahaya kepada orang lain di jalan raya kita.”
TP kini mempunyai enam jenis kamera dipasang di seluruh Singapura dalam usaha mencegah dan mengurang mengurangkan nahas dek pandu laju.
Ia terdiri daripada gabungan kamera statik dan mudah alih – Kamera Kelajuan Purata (ASC), Kamera Lampu Merah (RLC), Kamera Kelajuan Tetap (FSC), Kamera Kelajuan Mudah Alih (MSC), Kamera Laser Kelajuan Polis (PSLC) dan Kamera Kelajuan Radar Polis (PRSC).
Terdapat 320 lokasi yang dipasangkan dengan kamera penguatkuasa trafik – kamera lampu merah dan kamera kelajuan – dan lokasinya juga disenaraikan di laman SPF.
TP mengamalkan pendekatan telus dalam penguatkuasaan dengan tujuan memberi amaran dan menghalang pemandu melakukan kesalahan trafik, sekali gus memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua.
Enam jenis kamera penguatkuasaan:
Kamera Kelajuan Purata (ASC)
Kamera Lampu Merah (RLC)
Kamera Laser Kelajuan Polis (PSLC)
Kamera Kelajuan Radar Polis (PRSC)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg