Seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital selepas kakinya yang tersepit dilepaskan dari eskalator di sebuah pusat beli-belah di Buangkok pada 22 Februari.

Dalam rakaman kejadian itu yang disiarkan di laman Facebook pada hari tersebut, seorang wanita dilihat bercangkung sambil melakukan sesuatu untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan itu yang tersepit di eskalator yang tidak bergerak.

Menurut The Straits Times, kanak-kanak itu kelihatan meraung meminta tolong.

Dalam video tersebut, kedengaran suara wanita meminta bantuan daripada pihak berkuasa menerusi telefon.

Wanita itu berkata beliau bukan ibu kanak-kanak malang itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan meminta bantuan di 70 Compassvale Bow – alamat Sengkang Grand Mall – pada kira-kira 6.50 petang pada 22 Februari.

Ketika tiba di tempat kejadian, kaki kiri kanak-kanak itu didapati tersepit di tepi eskalator dan terpaksa dilepaskan dengan menggunakan peralatan menyelamat.

SCDF kemudian membawa kanak-kanak itu ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.