Pada 2010, terdapat sebuah kes penganiayaan kanak-kanak yang bukan sahaja menarik perhatian masyarakat malah turut menjadi perbualan dalam kalangan penggubal dasar, Anggota Parlimen dan sebagainya.
Kes yang dimaksudkan mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Danish Iman Abdullah, yang dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 15 Disember 2010.
Anak kecil itu meninggal dunia di KKH pada pagi 20 Disember 2010, lima hari selepas Allahyarham Danish mengalami kejadian tragik.
Menyingkap kes ini dalam podcast #NoTapis ‘Diari Mahkamah’ episod ketujuh, Editor Bersekutu (Editor Naskhah), Berita Harian Encik Chairul Fahmy Hussaini, yang telah membuat liputan mengenai kisah Allahyarham Danish berkongsi pengalamannya.
Beliau telah mendapat panggilan daripada bapanya kira-kira antara 12 tengah hari dengan 2 petang yang memberitahunya tentang satu kes penderaan melibatkan seorang kanak-kanak.
Oleh kerana menyelia meja berita, Encik Chairul Fahmy telah menyuruh rakan sekerjanya, mantan wartawan, Cik Linilidia Abdul Hamid, untuk ke hospital dan mendapatkan maklumat lanjut tentang anak kecil itu.
Ternyata, Cik Linilidia mengesahkan bahawa anak kecil itu telah didera sangat teruk, sampai sebahagian anggota badannya, terpatah lapan.
Sebelum Allahyarham Danish meninggal dunia, teman lelaki kepada Cik Nurul Jannah Jasman, ibu Allahyarham Danish, Muhammad Raffiq Jaffah, telah diberkas dan dihadapkan ke mahkamah pada 17 Disember 2010 dengan tuduhan menyebabkan kecederaan parah.
Pada 15 Disember 2010, Allahyarham Danish ditemui tertiarap di lantai tempat mandi selepas Muhammad Raffiq menyuruhnya ke tandas untuk membersihkan wajahnya.
Tuduhan itu kemudian diubah kepada tuduhan membunuh, yang membawa hukuman mati, setelah Danish meninggal dunia.
Sijil kematian Danish yang diperoleh Berita Harian pada hari pengebumiannya pada 21 Disember 2010 menunjukkan mangsa mengalami “kecederaan traumatik di kepala.”
Selain tuduhan membunuh, Raffiq menghadapi tujuh tuduhan mendera Danish.
Antara penderaan yang telah dilakukan ke atas kanak-kanak kecil itu termasuk menggigit tangan dan kakinya, mencucuh api pada badan, merotan dan menamparnya.
Meskipun menghadapi tuduhan membunuh, Muhammad Raffiq terlepas daripada tali gantung setelah ia dipinda sekali lagi kepada tuduhan bertindak mengakibatkan kematian.
Akhirnya, dia dihukum penjara 10 tahun dan sebat 10 kali pada 14 Mei. Hukuman itu termasuk lapan tahun penjara dan lima sebatan bagi tuduhan melakukan tindakan mengakibatkan kematian Allahyarham.
Rakan kongsi firma guaman IRB Law, Cik Mumtaz Zainudin menjelaskan beberapa faktor yang menyebabkan seseorang yang membunuh boleh terlepas daripada hukuman tali gantung.
Ketua Pemulihan Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Cik Jamila Mustaffa yang turut diundang bagi podcast ini memberi pencerahan mengenai dorongan bagi seseorang melakukan penderaan dan apa yang membuatkannya tidak mampu berhenti.
Ikuti lebih lanjut tentang kes menyayat hati ini di podcast #NoTapis Diari Mahkamah menerusi Spotify atau laman beritaharian.sg/podcasts.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg