Kanak-kanak yang menaiki kereta api di stesen MRT Stadium mengenali Cik Ayati Hassan dan Cik Marfadina Mohamed Nossi sebagai ‘mak cik sticker’.
Selama lebih setahun, kededua wanita itu berada di stesen tersebut setiap hari, dengan membawa beg kecil penuh dengan pelekat untuk diberikan kepada kanak-kanak.
Sebagai duta perkhidmatan kereta api SMRT, mereka sentiasa memerhatikan penumpang yang mungkin memerlukan bantuan, terutamanya kanak-kanak yang menangis kerana terpaksa pergi ke sekolah pada waktu pagi.
Antara pelekat yang mereka berikan ialah watak kartun popular – seperti Pokemon dan penguin animasi, Pororo – serta pelekat lain yang digemari kanak-kanak seperti bas, trak dan pelbagai jenis haiwan termasuk ikan.
Mereka mendapati kanak-kanak yang sering ke stesen pada waktu pagi kebanyakannya berasal dari luar negara, kemungkinan besar kerana sekolah antarabangsa terletak di kawasan itu.
Justeru, mereka memutuskan untuk melakukan sesuatu yang membuat kanak-kanak tersebut berasa gembira, lapor The Straits Times.
“Pada mulanya, kami terfikir untuk memberi gula-gula atau coklat untuk menggembirakan mereka, tetapi orang ramai tidak dibenarkan makan di stesen MRT,” kata Cik Ayati, 57 tahun, yang telah bekerja di stesen MRT Stadium selama tiga tahun.
Akhirnya, mereka memutuskan untuk memberi pelekat kepada kanak-kanak tersebut.
Mereka membeli pelekat daripada platform e-dagang, Shopee, menggunakan wang mereka sendiri kerana harganya tidak mahal.
Kanak-kanak mengambil sedikit masa untuk bermesra dengan mereka, kata Cik Marfadina, 46 tahun, yang telah berkhidmat sebagai duta perkhidmatan selama enam tahun.
Salah seorang daripada mereka ialah Alexander Ian Armour yang berusia tiga tahun.
Pada mulanya, dia teragak-agak untuk mendekati mereka, kata Cik Marfadina.
Ibunya, Cik Elena Armour, 41 tahun, berkata bahawa ia mengambil masa beberapa minggu untuk anaknya ‘berkawan’ dengan dua wanita itu dan akhirnya dia tertawan apabila mendapat pelekat trak bomba.
Kini, anaknya itu akan berlari ke arah dua wanita itu dengan penuh kegembiraan supaya dia boleh memilih pelekat lain, kata Cik Armour, yang berasal dari Russia.
Cik Armour, yang telah menetap di Singapura selama 16 tahun dan bekerja dalam sektor kewangan, berkata Alexander akan menghiasi kereta sorongnya dengan pelekat itu.
“Sungguh indah apabila seseorang menunjukkan kebaikan tulus tanpa mengharapkan balasan, ikhlas hanya kerana kasih sayang kepada anak-anak,” katanya.
Cik Ayati berkata beliau sedar kanak-kanak akan membesar lama-kelamaan, berpindah ke tempat lain atau jarang melewati stesen yang sama tetapi buat masa ini beliau “gembira dapat menceriakan wajah mereka setiap hari”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg