PELAYARAN dua malam World Dream yang dijangka berlepas dari Singapura 9 malam ini dibatalkan menyusuli satu kes suspek Covid-19 dalam kapal itu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, syarikat Dream Cruises mengesahkan bahawa seorang tamu yang mengikuti pelayaran tiga malam World Dream yang berlepas dari Singapura Ahad lalu mempunyai kontak rapat dengan seorang individu yang dijangkiti Covid-19 sebelum menaiki kapal tersebut.
Menurutnya, tamu itu telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19 dan menjalani ujian pantas antigen (ART) sebelum menaiki kapal tersebut pada hari keberangkatan, dengan hasil ujian yang negatif.
Selepas dimaklumkan di atas kapal, tamu itu segera diasingkan bagi pemeriksaan di pusat perubatan kapal itu sementara beberapa individu yang belayar bersamanya dikuarantin.
Tamu itu kemudian menjalani satu lagi ujian di dalam kapal, dengan hasil ujian yang disyaki positif hari ini.
Namun, kontak rapat yang menaiki kapal itu bersamanya mendapat hasil negatif selepas menjalani ujian Covid-19 dalam kapal itu.
"Dream Cruises ingin mengulangi bahawa keselamatan dan kesejahteraan tamu dan kru kami merupakan keutamaan pertama kami dan kami sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa Singapura," kata pengendali kapal pelayaran itu.
Tambahnya, kapal berkenaan tiba di Pusat Pelayaran Marina Bay pada 6.30 pagi tadi.
Kapal itu pada awalnya dijadual kembali pada 9 pagi tadi.
Setibanya di Singapura, tamu terbabit serta individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapatnya dibawa meninggalkan kapal itu mengikut laluan khas.
Kemudian, tamu lain meninggalkan kapal itu menerusi laluan lain dan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg