RESORTS World Cruises, sebuah jenama pelayaran baru milik hartawan Malaysia, Encik Lim Kok Thay, akan dilancarkan di Singapura pada 15 Jun dengan menawarkan kapal persiaran Genting Dream.
Pengumuman itu dibuat hanya tiga bulan selepas Genting Hong Kong muflis - mangsa kewangan berprofil tertinggi dalam industri pelayaran pandemik Covid-19.
Resorts World Cruises mengambil semula kira-kira 1,600 pekerja untuk menjalankan perniagaan pelayaran barunya, dan telah mengambil semula kira-kira 70 daripada kira-kira 100 bekas pekerja daripada operasi jualan dan pemasaran dan hotel Genting Hong Kong, kata Encik Michael Goh, presiden dan ketua jualan antarabangsa, dalam satu taklimat media semalam.
The Straits Times melaporkan bulan lalu Resorts World Cruises, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Encik Lim, didaftarkan di Singapura pada 9 Mac dan dimilik oleh pemegang saham Two Trees Family Holdings.
Two Trees Family, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang diperbadankan di Singapura pada 19 Mac 2021, menyenaraikan Encik Lim dan anaknya, Encik Lim Keong Hui, bersama Encik Gerard Lim Ewe Keng, sebagai pengarah. Pemegang saham Two Trees Family ialah Summerhill Trust, sebuah entiti berdaftar di Isle of Man.
Resorts World Cruises ialah lanjutan jenama Resorts World, jenama global dengan 46 hartanah di seluruh dunia dengan lebih 30,000 pekerja. Tempahan akan tersedia mulai 18 Mei di laman web syarikat itu.
Sempena pelancaran dan sebagai tanda muhibah, Resorts World Cruises akan menawarkan kredit pelayaran percuma dengan nilai yang setara untuk semua penumpang yang telah membuat bayaran namun terjejas akibat pembatalan pelayaran World Dream di Singapura antara 2 Mac dan 31 Ogos 2022. Ini melibatkan penumpang World Dream terjejas yang belum menerima sebarang bayaran balik daripada sumber tempahan asal mereka.
Untuk lebih meyakinkan pelanggan, semua pembayaran bagi tempahan pelayaran yang dibuat akan disimpan dalam akaun berasingan yang akan dikeluarkan hanya sebelum pelayaran dimulakan, tambahnya.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, Encik Colin Au, ketua eksekutif Resorts World Cruises, berkata: "Amalan semua syarikat pelayaran ialah menggunakan wang tunai untuk urusan kerja.
"Tetapi kami telah mengubah amalan bagi memastikan dana yang dibayar (pelanggan) akan disimpan secara tunai, dan jika jadual pelayaran tidak dilaksanakan, wang itu akan dikembalikan kepada pelanggan."
Encik Lim, pengerusi eksekutif syarikat itu, berkata dalam satu kenyataan: "Kami memulakan operasi pelayaran kami 30 tahun lalu di Singapura dan kami teruja melancarkan semula Resorts World Cruises pertama di Singapura, negara pertama yang membuka semula pelayaran di rantau ini.
"Resorts World Cruises akan mempunyai ibu pejabatnya di Singapura dan komited menjadikan Singapura hab pelayaran terkemuka di Asia. Kami juga menghargai sokongan dan kepercayaan bank China dalam membenarkan Resorts World Cruises menyewa Genting Dream," tambahnya.
Encik Lim pengerusi dan eksekutif lembaga Genting Malaysia dan Genting, yang juga dikenali sebagai Kumpulan Genting, yang memiliki Resorts World Sentosa antara usaha niaga lain. Beliau juga pengerusi dan ketua eksekutif pengendali pelayaran Genting Hong Kong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg