KAPAL persiaran Quantum of the Seas milik syarikat Royal Caribbean tiba di Singapura hari ini (9 Disember) selepas berpatah balik pada hari ketiga daripada empat hari pelayaran tanpa destinasi akibat satu kes jangkitan Covid-19 yang disahkan dalam kapal tersebut.
Kapal itu telah mengasingkan semua tamu dan kru yang mempunyai kontak rapat dengan tamu yang dijangkiti itu. Kesemuanya diuji negatif bagi koronavirus itu.
Kapten kapal itu mengesahkan hal itu menerusi satu pengumuman sekitar 8.10 pagi apabila kapal itu tiba di Singapura.
"Adalah penting anda tahu anda selamat dalam kapal ini dan kami mempunyai rancangan yang baik untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan keselesaan anda," ujarnya.
Sebelum itu, beliau memberitahu tamu sekitar 2.45 pagi tadi bahawa kapal itu akan pulang awal dan mengarahkan semua tamu kekal berada dalam kabin masing-masing.
Pengarah kapal persiaran di Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Annie Chang, berkata:
"Seorang penumpang (kapal) Quantum of the Seas Royal Carribean telah diuji positif bagi Covid-19 dan telah segera diasingkan.
"Rancangan respons kecemasan telah diaktifkan mengikut garis panduan termasuk pengasingan segera kontak rapat, usaha menjejak kontak dan langkah membersihkan kapal secara mendalam."
Tambahnya, semua kontak rapat pesakit tersebut telah diuji negatif dan kapal itu kembali ke Singapura supaya penumpang boleh turun dan mendapatkan bantuan perubatan jika perlu.
"Semua penumpang melalui ujian Covid-19 mandatori sebelum menaiki kapal, dengan langkah kebersihan dan keselamatan yang ketat dilaksana sepanjang perjalanan penumpang," kata Cik Chang.
Quantum of the Seas boleh menampung hingga sekitar 2,000 tamu semasa pandemik ini, separuh daripada keupayaan biasanya menampung lebih 4,000 penumpang.
Quantum of the Seas juga mempunyai hospital dalam kapal, lengkap dengan makmal ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) dan unit jagaan rapi (ICU), di mana kes Covid-19 boleh diasingkan dan dirawat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg