SEBUAH kapal Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) berlepas ke Tanjung Priok, Indonesia, dengan membawa oksigen untuk membantu usaha negara itu memerangi Covid19 pagi semalam.
Menerusi laman Facebook beliau, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, berkata kapal itu membawa dua tangki dengan 40 tan oksigen cecair, 500 silinder oksigen dan 570 pemekat oksigen.
Usaha itu menyusuli panggilan telefon antara Menteri Penyelaras bagi Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Pandjaitan, yang juga menteri penyelaras bagi respons Covid-19 negara itu, dengan Encik Teo.
"Saya meyakinkannya bahawa Singapura akan melakukan yang terbaik dan bekerjasama untuk mengatasi pandemik ini bersama," ujar Encik Teo.
Sebelum ini, Singapura turut menghantar dua pesawat yang membawa bekalan perubatan dari negara ini ke Indonesia. Ia termasuk alat pengalih udara, pelitup, sarung tangan dan gaun perubatan.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semalam, pemerintah Singapura menghantar peralatan dan bekalan oksigen kecemasan itu menyusuli permintaan Indonesia.
"Sebagai jiran dekat dan rakan kerja Indonesia, Singapura akan terus bekerja rapat dengan Indonesia untuk menyokong usaha mereka memerangi pandemik Covid-19," kata jurucakap MFA.
Sementara itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang hadir di Pangkalan Udara Paya Lebar untuk menyerahkan bekalan perubatan itu Jumaat lalu berkata warga Singapura bersatu dengan Indonesia dalam usaha mereka memerangi pandemik Covid-19.
Singapura mengetatkan langkah sekatan sempadannya bagi pengunjung dari Indonesia kelmarin, ekoran jumlah kes Covid-19 yang melonjak di sana.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kelulusan bagi pengunjung dari Indonesia yang bukan warga atau penduduk tetap (PR) Singapura akan segera dikurangkan.
Indonesia melaporkan 35,094 kes Covid-19 dan 826 kematian kelmarin.
Ini bermakna terdapat lebih 2.49 juta kes Covid-19 dan 65,457 kematian di negara itu sejauh ini.
Pihak berkuasa Indonesia juga melanjutkan sekatan Covid-19 di 15 lokasi baru Jumaat lalu.
Ini merupakan sebahagian usaha untuk mengelak daripada krisis seperti di Jawa, dengan hospital yang hampir mencapai hadnya, bekalan oksigen yang rendah serta empat daripada lima tapak pengebumian yang khusus bagi kes Covid-19 di ibu kota Jakarta hampir penuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg