PEMERINTAH sedang memantau keupayaan unit jagaan rapi (ICU) negara ini dengan rapat sedang jumlah kes dalam kelompok Covid-19 pusat hiburan KTV terus bertambah hingga mencapai 120 kes hingga 12 tengah hari semalam.
Mengatakan demikian semasa satu sidang media semalam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata langkah pengurusan selamat lebih ketat akan dilaksana untuk membendung penularan sekiranya keupayaan ICU itu tertekan.
Terdapat sekitar 1,000 katil ICU yang diperuntuk bagi pesakit Covid-19 dan kini, hanya seorang pesakit Covid-19 warga emas yang sedang dirawat di ICU.
"Dalam beberapa hari akan datang jika lebih ramai orang jatuh sakit dan ada 25 orang yang perlu dirawat di ICU, dalam masa seminggu, jumlah itu akan naik (seganda) kepada 50 orang, 100 orang pada minggu seterusnya, 200 orang pada minggu seterusnya, sekitar 500 orang pada minggu seterusnya dan 1,000 orang pada minggu kelima, dan ini akan melumpuhkan sistem.
"Kita tidak boleh tunggu hingga lima minggu. Kalau jumlah kes (di ICU) terus naik pada minggu ketiga, tindakan perlu segera diambil dan kita mungkin akan kembali kepada langkah pengurusan selamat semasa Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat)," ujar Encik Ong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19.
Encik Ong berkata jumlah kes Covid-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang namun menurutnya, perangkaan itu bukan yang paling penting sekarang, dengan program vaksinasi nasional yang sedang berlangsung.
Ini kerana jika individu yang dijangkiti itu muda dan sudah divaksinasi, mereka mungkin akan mengalami simptom ringan atau langsung tidak mengalami sebarang simptom.
Oleh itu, mereka tidak akan memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.
Sebaliknya, Encik Ong berkata apa yang perlu diperhatikan dengan rapat ialah mereka yang sakit teruk dan dimasukkan ke hospital, memerlukan oksigen atau perlu dirawat di ICU.
Mengulas tentang 88 kes pertama daripada kelompok pusat hiburan KTV itu yang dilaporkan hingga kelmarin, pengarah khidmat perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak, berkata 20 daripadanya tidak mengalami simptom dan berada dalam keadaan baik semasa diasingkan.
Baki 68 kes mengalami simptom ringan seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak, kehilangan deria menghidu dan merasa serta ketegangan dan sakit badan.
"Tiada di antara mereka memerlukan bantuan oksigen atau rawatan di ICU.
"Kebanyakan kes ini melibatkan individu berusia muda, yang mungkin menjelaskan ketiadaan simptom atau simptom ringan yang mereka alami," kata Profesor Mak.
Tambahnya, warga Singapura dalam kumpulan itu berusia antara 19 dengan 60 tahun, dan mereka merupakan pengunjung kerap ke pusat KTV itu.
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa kebanyakan daripada simptom paling teruk bagi jangkitan Covid-19 berlaku pada minggu kedua jangkitan dan kesemua individu itu akan terus dipantau rapat sementara mereka diasingkan.
Kebanyakan daripada kes itu kini berada di Kemudahan Penjagaan Masyarakat (CCF) manakala mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi bagi jangkitan lebih teruk kini dirawat di hospital.
Encik Ong berkata punca jumlah pesakit Covid-19 yang perlu dirawat di ICU bertambah boleh bergantung pada usia individu yang dijangkiti koronavirus itu serta sama ada mereka sudah divaksinasi.
Hingga semalam, beliau berkata lebih 6.5 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada orang ramai.
Sekitar 4 juta orang - atau 73 peratus penduduk - telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, dengan 2.5 juta daripada mereka - atau kira-kira 45 peratus penduduk - telah selesai mendapatkan kedua-dua dos yang diperlukan.
Menyifatkan pendaftaran bagi vaksin itu sebagai menggalakkan, beliau berkata lebih 80 peratus penduduk daripada semua kumpulan usia telah divaksinasi atau mendapatkan tempahan bagi vaksinasi kecuali bagi golongan yang amat memerlukannya, iaitu mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas.
Kini, hanya 71 peratus warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas sudah divaksinasi atau membuat tempahan bagi vaksinasi.
Ini bermakna masih ada 140,000 warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas yang belum divaksinasi dan golongan ini paling mudah terjejas.
"Kami tidak tahu siapa pengunjung (pusat hiburan KTV) ini dan kami sedang berusaha mengenal pasti seberapa ramai mungkin.
"Jika mereka pergi ke pusat KTV itu dan kemudian pulang ke rumah dan berinteraksi dengan ibu bapa dan datuk nenek mereka, dan mereka tidak divaksinasi, ini amat berbahaya buat mereka. Itu yang paling kami bimbangkan," kata Encik Ong.
Di sidang media itu, Profesor Mak berkata kelompok pusat hiburan KTV itu berkemungkinan tinggi berpunca daripada penularan dalam masyarakat.
Namun, punca awalnya dan cara penularannya belum diketahui.
Tambahnya, kes pertama yang dikesan dalam kelompok yang semakin meluas itu, melibatkan seorang wanita warga Vietnam, mungkin bukan kes pertama yang dijangkiti dan menyumbang kepada seluruh kelompok tersebut.
Wanita Vietnam itu merupakan pemegang pas lawatan jangka pendek yang memasuki Singapura Februari lalu menerusi laluan ikatan keluarga, dengan ditaja teman lelakinya yang merupakan seorang warga Singapura.
Ketika itu, Vietnam merupakan negara berisiko rendah dan Singapura membuka sempadannya kepada pengunjung dari negara itu. Dalam kenyataan berasingan semalam, Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata laluan tersebut telah ditiadakan pada Mac tahun ini.
Menteri Kewangan Lawrence Wong yang juga pengerusi bersama MTF bagi menangani Covid-19 berkata pas lawatan itu biasanya bagi tujuan keluarga dan mereka yang tiba di Singapura dengan pas itu telah diuji dan adalah jelas mereka tidak membawa virus itu.
Penjejakan kontak dan siasatan kemudian menunjukkan bahawa wanita itu kerap berkunjung ke banyak pusat KTV.
"Kita semua amat kecewa dengan rintangan terkini ini, dengan jumlah kes yang meningkat banyak di pusat KTV," ujarnya.
Encik Wong juga berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu yang didapati bekerja sambilan secara terlarang serta penaja setempat bagi pas ini jika mereka tidak memberi maklumat yang tepat kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam permohonan mereka.
Semalam, Singapura melaporkan 61 kes Covid-19 baru. Ini termasuk 53 jangkitan dalam masyarakat, dengan 32 kes dijejak ke kelompok KTV. Lagi lapan kes diimport.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg